Anwar yang juga Perdana Menteri, berkata hanya kerana wujud aduan tidak bermakna proses pemilihan dilaksanakan dengan pincang.
“Hanya kerana ada yang mengadu maka ia dilihat seolah-olah tidak adil, tidak begitu. Jika ada aduan kita ambil peduli,” katanya.
Tambah beliau lagi, audit antarabangsa juga dilantik bagi meneliti setiap aduan yang diterima oleh Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP).
“Kini terdapat audit antarabangsa yang menyiasat sekiranya terdapat sebarang kesahihan pada aduan,” katanya lagi.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan majlis pecah tanah projek pembangunan Rumah Belia Madani (RBM) dan Rumah Mampu Milik (RMM) di Mukim Batu, di sini, hari ini.
Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming dan Ahli Parlimen Batu P. Prabakaran.
Pada Isnin, Dr Zaliha yang juga Pengerusi JPP PKR, berkata anggota PKR dinasihatkan supaya membuat aduan berkaitan salah laku semasa pemilihan melalui saluran rasmi bagi membolehkan tindakan sewajarnya diambil.
Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai calon yang menggunakan media sosial untuk meluahkan ketidakpuasaan hati mereka terhadap keputusan pemilihan.
Pada Sabtu, Naib Presiden PKR Nik Nazmi Nik Ahmad mengesahkan bahawa beliau telah menghantar surat rayuan kepada JPP.
