KUALA LUMPUR: Dua muka baharu menerajui sayap Pergerakan Pemuda dan Puteri UMNO manakala Wanita UMNO kekal dengan penyandangnya dalam Pemilihan UMNO 2023.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan UMNO (JPU) 2023, Tan Sri Shahrir Samad, jawatan Ketua Pemuda UMNO dimenangi Mohamad Akmal Salleh manakala Naib Ketua Pemuda UMNO dimenangi Mohd Hairi Mad Shah.

"Akmal merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau dan Hairi ADUN Larkin, masing-masing adalah EXCO pentadbiran Melaka dan Johor.

"Bagi jawatan Ketua Puteri UMNO pula dimenangi bekas Naib Ketuanya, Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi, dan jawatan Naib Ketua disandang Siti Sokhleha Nordin.

"Sementara, Ahli Parlimen Parit Sulong, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad pula mempertahankan jawatan sebagai Ketua Wanita UMNO bagi penggal 2023-2026 selepas memperoleh 112 undi daripada 191 bahagian seluruh negara. Jawatan Naib Ketua Wanita UMNO juga berjaya dipertahankan penyandangnya Datuk Norliza Abdul Rahim," katanya pada sidang media di Menara Dato' Onn pada Isnin.

Shahrir berkata, sebanyak 188 bahagian Wanita dan Puteri UMNO bersidang pada pemilihan kali ini manakala Pemuda membabitkan 187 bahagian.