Pemuda PAS menegur kepimpinan parti itu yang dilihat gagal menguruskan konflik dalaman hingga menyebabkan Majlis Syura Ulama yang merupakan institusi tertinggi parti itu diperlekeh oleh ahlinya sendiri.

Ketua Pemuda PAS Malaysia, Suhaizan Kaiat berkata perkara tersebut menjadi lebih apabila kegagalan pengurusan krisis itu turut membabitkan kepimpinan PAS yang dilihat tidak beradab dan berdisiplin dalam menghadapi krisis.

Suhaizan berkata pimpinan tertinggi parti itu perlu segera memantapkan aspek pengurusan krisis agar masalah yang timbul tidak dimanipulasi oleh parti lawan.

"PAS Pusat dilihat semacam tiada plan tindakan dalam mengurus konflik yang berlaku dalam parti. Perbezaan pendapat dalam PAS tidak diruskan dengan baik sehingga menjadi krisis yang parah.

"Pemuda PAS sangat sedih apabila Majlis Syura Ulama diperlekeh dan dipertikai oleh sesetengah ahli dan pihak luar. Masyarakat umum menggeleng kepala melihat betapa lemahnya kita mengurus krisis sehingga luka kecil akhirnya bernanah," katanya ketika menyampaikan Ucapan Dasar Ketua Pemuda pada Muktamar Tahunan Pemuda PAS Pusat ke-55 di Dewan Chon Moi di sini, hari ini.

Suhaizan juga menyeru supaya PAS kembali memantapkan Lembaga Disiplinnya dalam usaha mengurus krisis dalaman parti.

Katanya, Lembaga Disiplin PAS kini dilihat terlalu lesu dan perlu diperteguhkan segera.

"Isi kandungan mesyuarat boleh dicapai oleh media luar parti dengan begitu cepat. Perbincangan dalaman boleh sampai ke media pihak lawan.

"Media baharu yang sepatutnya menjadi alat untuk berdakwah sudah menjadi alat untuk menembak kaki sendiri.

"Lebih malang lagi apabila masalah di rumahtangga jiran, tiba-tiba rumahtangga kita pula yang berantakan," katanya.

Suhaizan berkata, Majlis Syura Ulama yang menjadi badan tertinggi PAS perlu dimantapkan semula bagi memastikan parti itu tidak tersasar daripada perjuangannya.

"Majlis Syura Ulama perlu diperteguh untuk terus memandu parti agar tidak terbabas daripada landasan syarak. Kita juga perlu sedar bahawa musuh-musuh kita sudah mengenalpasti ‘lubuk’ kita untuk terus dimanipulasi bagi melemahkan parti.

"Justeru aspek pengurusan krisis (crisis management) dalam parti perlu dimantapkan segera. Saya juga menyeru para pimpinan parti untuk menjadi qudwah dalam menunjukkan disiplin dan adab yang tinggi kepada ahli parti khususnya ketika mengahadapi satu-satu krisis," katanya.

Teguran Suhaizan itu dlihat merujuk kepada beberapa isu yang timbul mutakhir ini terutamanya berhubung konflik jawatan Menteri Besar Selangor.