Skip to main content

Politik

Penangguhan mengejut sidang DUN Perlis cetus spekulasi ketidakstabilan kerajaan negeri

KANGAR, 23 April -- Sidang Dewan Undangan Negeri Perlis dimulai dengan lafaz ikrar Rukun Negara buat julung kalinya pada Persidangan Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis Ke-15 yang berlangsung di Kompleks DUN Perlis, hari ini.  Persidangan DUN berlangsung selama tiga hari bermula Selasa, dengan upacara perasmian disempurnakan oleh Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail pada 22 April._BERNAMA
Pemerhati melihat penangguhan sidang yang dijadualkan berlangsung pada 21 hingga 23 April ini mudah untuk dikaitkan dengan usaha mengelak usul tidak percaya atau menguji sokongan majoriti. - Gambar fail/Bernama

KANGAR: Penangguhan mengejut Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis tanpa alasan kukuh boleh mencetuskan persepsi bahawa kerajaan negeri sedang berdepan ketidakstabilan politik atau tekanan dalaman, demikian menurut penganalisis politik.

Penganalisis politik daripada Universiti Sains Malaysia (USM) Prof Datuk Dr Sivamurugan Pandian berkata penangguhan sidang yang dijadualkan berlangsung pada 21 hingga 23 April ini mudah untuk dikaitkan dengan usaha mengelak usul tidak percaya atau menguji sokongan majoriti.

Advertisement

“Dalam politik, apabila sidang (DUN) ditangguh tanpa justifikasi jelas, ia mudah ditafsirkan sebagai tanda ketidakstabilan atau kegoyahan pentadbiran. Jika Pas atau mana-mana pihak dilihat mempunyai kekuatan untuk membawa usul sedemikian, maka persepsi bahawa MB (Menteri Besar) bimbang kehilangan sokongan pasti timbul,” katanya kepada Bernama.

Persidangan itu sepatutnya menjadi sidang DUN pertama di bawah pimpinan Abu Bakar Hamzah selepas Ketua Badan Pimpinan Bersatu Negeri Perlis itu mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perlis pada 28 Dis tahun lepas.

Abu Bakar yang juga Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perlis dilantik susulan peletakan jawatan Mohd Shukri Ramli dari Pas sebagai Menteri Besar atas faktor kesihatan.

Terdahulu, ketidaktentuan politik di Perlis memuncak pada Disember tahun lepas susulan spekulasi lapan wakil rakyat menarik balik sokongan terhadap Mohd Shukri, termasuk Abu Bakar yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Perlis bersama tiga ADUN Pas iaitu Saad Seman (Chuping), Fakhrul Anwar Ismail (Bintong) dan Ridzuan Hashim (Guar Sanji).

Susulan kemelut itu, Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang pada 24 Dis lepas memaklumkan keahlian tiga ADUN Pas berkenaan terhenti dan mereka tergugur jawatan sebagai wakil rakyat selepas menarik sokongan terhadap Mohd Shukri.

Menjelas lebih lanjut, Sivamurugan berkata Abu Bakar perlu segera memberikan penjelasan rasmi dan telus mengenai faktor penangguhan itu bagi menghentikan spekulasi yang tular di media sosial sejak surat pemakluman dikeluarkan pada 17 April lepas.

Beliau berkata Menteri Besar juga perlu memastikan sokongan majoriti kerajaan negeri kekal kukuh selain menetapkan tarikh baharu sidang DUN secepat mungkin bagi memulihkan keyakinan rakyat.

Berkongsi pandangan sama, penganalisis politik daripada Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata tindakan menangguhkan sidang berjadual tanpa alasan mendesak menggambarkan kepimpinan Abu Bakar kini dalam keadaan goyah.

“Sepatutnya tidak boleh tangguh (sidang DUN) sebab berjadual, melainkan ada alasan sangat penting. Rakyat jadi risau kalau tangguh, sampai bila (akan tangguh) dan apa sebabnya berlaku.

“Kerajaan negeri diminta jelaskan apa sebenarnya yang berlaku supaya perkara ini dapat diselesaikan segera. Rakyat akan melihat keadaan ini sebagai konflik berterusan yang tidak selesai sejak Disember tahun lepas,” katanya.

Mohd Azizuddin yang juga Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UUM berkata penangguhan itu berkemungkinan bertujuan memberi masa kepada pihak Menteri Besar untuk terus berunding dengan ADUN Pas bagi mengelakkan kerajaan negeri tumbang.

“Kalau kerajaan negeri jatuh, nampak perpecahan lebih besar antara Bersatu dan PAS menyebabkan mungkin krisis lagi berlarutan menjadikan PN lagi lemah,” katanya.

Dalam pada itu, Speaker DUN Perlis Rus'sele Eizan memaklumkan persidangan tersebut perlu diadakan selewat-lewatnya pada 11 Jun ini bagi mengelakkan DUN terbubar secara automatik.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), PN memenangi 14 kerusi DUN yang terdiri daripada sembilan ADUN Pas dan lima ADUN Bersatu, manakala Pakatan Harapan (PH) memenangi satu kerusi melalui PKR di DUN Indera Kayangan.

Bagaimanapun, jumlah ADUN Pas kini berkurangan kepada enam orang selepas tiga wakil rakyatnya tergugur keahlian dalam parti kerana menarik sokongan terhadap Mohd Shukri pada Disember lepas.

Komposisi terkini DUN Perlis menyaksikan PN mempunyai 11 kerusi (enam Pas dan lima Bersatu) manakala PH satu kerusi.

-- BERNAMA

Must Watch Video