KOTA BHARU: Pengerusi Parti Pribumi BERSATU Malaysia (Bersatu) Kelantan, Datuk Kamaruddin Md Nor mengesahkan beliau telah menerima surat penamatan pelantikannya sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Kelantan semalam.
Bagaimanapun, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Lanas yang memegang portfolio Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan itu enggan mendedahkan kandungan surat berkenaan buat masa ini.
Beliau berkata, penjelasan lanjut berhubung perkara itu akan diberikan pada satu sidang media yang dijadual berlangsung hari ini.
Perkembangan itu berlaku ketika hubungan politik antara Pas dan Bersatu terus menjadi perhatian susulan keputusan Pas menamatkan kerjasama politik dengan parti berkenaan pada Jun lalu.
Kamaruddin berkhidmat sebagai Exco Kelantan sejak Ogos 2023.
Selain Kamaruddin, dua lagi ADUN Bersatu yang berada dalam pentadbiran kerajaan negeri turut menjadi tumpuan, iaitu ADUN Kok Lanas, Datuk Mohamed Farid Mohamed Zawawi dan ADUN Tawang, Datuk Bahari Mohd Nor, yang masing-masing memegang jawatan dalam barisan Exco negeri.
Status kedua-dua wakil Bersatu itu dijangka menjadi antara persoalan utama susulan penamatan pelantikan Kamaruddin.
Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud turut dijadual mengadakan sidang media khas hari ini bagi menjelaskan kedudukan terkini berhubung perkara berkenaan serta implikasinya terhadap pentadbiran kerajaan negeri.