Bekas Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan penggugurannya sebagai calon Pengerusi bagi pemilihan parti yang akan berlangsung Ogos depan adalah tidak sah.

Menurutnya, mahkamah masih belum membuat keputusan rasmi berhubung status keahliannya bersama beberapa bekas pimpinan Bersatu yang lain.

Tambahnya, beliau masih lagi ahli Bersatu yang sah ketika ini dan masih layak untuk bertanding dalam pemilihan bagi mempertahan jawatan sebagai Pengerusi parti memandangkan beliau telah dicalonkan sebelum ini.

"Dia gugur tak sah. Kita masih lagi ahli melainkan kalau mahkamah kata pengguguran ini sah. Kalau tidak kita masih anggap diri kita ahli, dan (layak) memegang jawatan.

“Dan saya dicalon tanpa ada (pesaing) calon lain, tiada lawan,” katanya ketika ditemui media selepas Program Bersatu Blackout peringkat negeri Kedah di sebuah hotel, di sini, pada Sabtu.

Tegas Dr Mahathir, beliau akan terus berusaha dan sedang merancang untuk melakukan tindakan susulan bagi mengekalkan kedudukannya dalam Bersatu.

Sementara itu, bekas Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata semua pihak sepatutnya menunggu mahkamah membuat keputusan berhubung perkara ini pada 7 Ogos depan.

Jelasnya, pelaksanaan sebarang keputusan atau tindakan oleh parti sebelum tarikh tersebut dilihat sebagai tidak menghormati institusi mahkamah itu sendiri.

“Kita tidak mengiktiraf soal pengguguran keahlian kami, soal apa-apa kemenangan di mana-mana peringkat pemilihan parti kerana tindakan mereka untuk gugurkan nama kami sebagai calon dalam pemilihan parti.

“Pada hemat kami, ia adalah seolah-olah satu penghinaan kepada mahkamah yang masih belum buat keputusan.

"(Keputusan) mahkamah akan berlaku pada 7 Ogos ini. Sepatutnya tunggu yang itu dulu,” ujarnya.

Terdahulu, perdana menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin secara tidak rasmi menang tanpa bertanding bagi mengekalkan jawatan Presiden Bersatu, selepas menjadi calon tunggal bagi jawatan itu pada pemilihan parti itu bulan depan.

Turut menang tanpa bertanding (tidak rasmi) Timbalan Presiden adalah Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, yang juga menjadi calon tunggal jawatan tersebut.

Bagaimanapun, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti, Tan Sri Syed Hamid Albar menjelaskan pengumuman secara rasmi mengenai keputusan pemilihan itu akan dibuat selepas selesai kesemua mesyuarat Bahagian Bersatu yang dijangka pada Ogos ini.

Dalam perkembangan lain, Dr Mahathir menjelaskan akan menjelajah ke seluruh negara bagi mempromosikan kempen ‘Bersatu Blackout’.

Menurut beliau, ianya sebagai isyarat dalam menjelaskan perkara sebenar kepada akar umbi parti terbabit khususnya situasi semasa serta keadaan politik sebenar yang berlaku di Malaysia ketika ini.