Skip to main content

Politik

Pentas PRN Johor jadi penentu kredibiliti politik Muhyiddin - Penganalisis

[TB]_Wong Chin Huat Muhyiddin Yassin_ASTRO AWANI filepic
Wong (kiri) berkata, PRN Johor ke-16 kali ini mampu menjadi medan buat Muhyiddin (kanan) untuk membuktikan kemampuannya sebagai pemimpin parti.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dilihat berpotensi menjadi pertaruhan politik paling besar buat Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin, apabila prestasi parti itu bakal menjadi penanda aras terhadap tahap pengaruh beliau dalam landskap politik semasa.

Penganalisis politik, Wong Chin Huat berkata, keputusan yang bakal dicatatkan Bersatu pada PRN Johor kali ini akan menentukan sama ada parti itu masih mampu mengekalkan sokongan seperti yang diperoleh pada PRN Johor ke-15 pada 2022.

“Prestasi Bersatu dalam PRN Johor akan menjadi ukuran sama ada parti itu masih mempunyai kekuatan dan mampu mengekalkan pengaruhnya seperti sebelum ini,” katanya hari ini ketika diminta mengulas sama ada PRN Johor menjadi ujian besar kepada Muhyiddin.

Menurut beliau, kegagalan Bersatu mempertahankan kerusi yang dimenangi sebelum ini dijangka memberi kesan besar terhadap kedudukan Muhyiddin sebagai pemimpin parti, sekali gus mencerminkan kemerosotan pengaruh beliau dalam arena politik negara.

Tambah Wong, sekiranya Bersatu gagal mengekalkan semua kerusi sedia ada, situasi itu berpotensi menjadi titik penamat kepada ketokohan Muhyiddin dalam politik nasional.

Untuk rekod, pada PRN Johor 2022, Perikatan Nasional memenangi tiga kerusi Dewan Undangan Negeri, dengan dua daripadanya iaitu Bukit Kepong dan Endau dimenangi Bersatu, manakala kerusi Maharani dimenangi Pas.

Di Bukit Kepong, Datuk Dr Sahruddin Jamal mencatat kemenangan dengan majoriti 710 undi dalam saingan empat penjuru, manakala di Endau, Alwiyah Talib menang dengan majoriti 3,041 undi menerusi pertandingan lima penjuru.

Wong turut membangkitkan persoalan mengenai corak sokongan parti-parti lain yang berpotensi mempengaruhi keputusan pilihan raya berkenaan.

Tambah beliau, tindakan Pas yang tidak meletakkan calon di 23 kerusi turut menimbulkan tanda tanya sama ada wujud persefahaman tertentu dengan UMNO.

Sehubungan itu, beliau berpandangan PRN Johor bukan sekadar persaingan untuk merebut kerusi Dewan Undangan Negeri, malah menjadi medan penting bagi mengukur kekuatan politik Muhyiddin serta menentukan hala tuju Bersatu menjelang persaingan politik akan datang.

Must Watch Video

Advertisement