KUALA LUMPUR: Polis menasihati orang ramai khususnya penyokong parti politik untuk sentiasa mematuhi undang-undang bagi memastikan proses demokrasi dan pelantikan Perdana Menteri ke-10 Malaysia berjalan dengan lancar, pada jam 5 petang ini di Istana Negara.

Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Amihizam Abdul Shukor berkata, tindakan tegas akan diambil kepada mana-mana penyokong parti politik yang melakukan sebarang provokasi atau menimbulkan sebarang isu termasuk perkauman dan agama.

“Turut dinasihati untuk tidak memuat naik sebarang ‘posting’ atau apa jua sisipan di media sosial yang boleh mendatangkan kegusaran atau salah fahaman pada masyarakat umum.

“Orang ramai turut diingatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi serta tindakan yang menyalahi undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan, pada Khamis.

[LAPOR LANGSUNG] Pasca PRU15: Anwar Ibrahim Perdana Menteri ke-10 - Istana Negara

Sebarang maklumat yang berkaitan bolehlah menghubungi Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2146 0584 / 585, Hotline Polis Brickfields di talian 03-2297 9222 atau mana-mana Balai Polis yang berdekatan.

Terdahulu, Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Seri Ahmad Fadil Shamsuddin memaklumkan, Yang Di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10.