POLITIK
‘Penyokong UMNO tidak akan undi Tengku Zafrul, mana dia nak pergi?’ - Hisommudin

Hisommudin mengulas tindakan Tengku Zafrul yang meletak semua jawatannya dalam UMNO dan memohon untuk menyertai PKR pada 30 Mei lalu. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz bakal berdepan sabotaj daripada ahli UMNO seandainya bertanding di Selangor, ramal penganalisis.
Perkara tersebut dikongsikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar dalam wawancara The Tiger Show Podcast yang dihoskan wartawan veteran, Amin Iskandar.
“Kalau Selangor dipilih, dia (Tengku Zafrul) bakal berdepan dengan penentangan ataupun sabotaj daripada UMNO, saya rasa tak mudah untuk memujuk ahli UMNO dengan pendirian yang dilakukan oleh Tengku Zafrul sekarang,” katanya.
Hisommudin mengulas tindakan Tengku Zafrul yang meletak semua jawatannya dalam UMNO dan memohon untuk menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada 30 Mei.Beliau berpendapat, langkah bekas Ketua UMNO Bahagian Kota Raja itu berisiko walaupun beliau telah menyatakan tiada Pilihan Raya Kecil (PRK) akan diadakan bagi memberi laluan kepada beliau untuk bertanding sebagai Ahli Parlimen.
“Implikasi kepada gerakan yang dibuat oleh Tengku Zafrul sebenarnya berisiko, sebagai contoh, dia pun kata mungkin tidak berlaku pengosongan, maksudnya menunjukkan unjuran kepada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16," katanya.
Untuk rekod, UMNO yang berada dalam gabungan Barisan Nasional telah melaksanakan kerjasama bersama Pakatan Harapan dalam Kerajaan Perpaduan ditadbir oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas PRU ke-15 sejak 2022.
“Kena tahu bahawa dengan tindakan sebegini penyokong UMNO tak akan undi Tengku Zafrul, jadi nak (undi) datang macam mana? Nak mengharapkan undi PH saja bagi saya, kalau salah pilih tempat posisi, mungkin bermasalah," katanya.
“PH tanpa undi daripada BN, susah untuk lepas, saya lihat risikonya, penentuan kerusi mana yang Tengku Zafrul pilih itu adalah penting untuk beliau mengambil perkiraan untung rugi,” katanya.
Tengku Zafrul hari ini mengulangi pendiriannya -- berhubung dakwaan akan ada PRK di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi memberi laluan kepadanya menjadi Menteri Besar Selangor, atau di peringkat Parlimen untuk beliau terus menjadi menteri -- hanya spekulasi semata-mata.
Pada 31 Mei, Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh berkata parti belum menerima permohonan daripada Tengku Zafrul.
Malah Fuziah turut menyatakan setiap permohonan yang dibuat akan melalui proses biasa termasuk dibentangkan dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) sebelum diberi pertimbangan.
Tindakan beliau itu mencetuskan kontroversi dan meraih kritikan daripada beberapa pemimpin UMNO.
Malah ada dalam kalangan pemimpin UMNO menggesa beliau mengosongkan jawatannya selaku Menteri.
Nota: Astro AWANI ialah rakan strategik 'The Tiger Show Podcast' yang dihoskan oleh wartawan veteran, Amin Iskandar.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami