Sayap Puteri UMNO Johor percaya peranan Tan Sri Muhyiddin Yassin akan terus signifikan kepada masa depan UMNO.

Ketua Puteri UMNO Johor, Rohaizah Ahmad berkata bukan sahaja sayap wanita muda dalam parti malah anak muda Johor umumnya menghormati dan menghargai bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

"Kami sentiasa memberi sokongan dan hormati beliau selaku Timbalan Presiden malah anak muda Johor amat menghargai sumbangan beliau dalam kerajaan dan kejayaan beliau dalam mengurus tadbir negara seperti yang diamanahkan," kata Rohaizat dalam satu kenyataan media.

Tambahnya, suasana politik sekarang mendesak semua pihak di dalam UMNO terus bersatu hati dan menjadikan mesyuarat UMNO Bahagian yang sedang berjalan sebagai medan terbaik bagi semua ahli kembali ke landasan perjuangan parti yang sebenar.

“Kita sebagai ahli UMNO rasanya tidak boleh menyekat mana-mana pihak untuk menyuarakan pandangan dan mengutarakan persoalan yang melibatkan perjuangan anak bangsa."

"Maka, walaupun ada yang membuatkan kita tidak berpuas hati, janganlah sampai anak muda khususnya puteri melatah dan sebagai alasan untuk kita membelakangkan ikrar janji yang telah dibuat," kata Rohaizah yang juga merupakan Ketua Puteri UMNO Bahagian Pagoh.

Justeru itu, beliau berharap ahli-ahli UMNO khususnya Puteri bersabar dan fokus kepada perjuangan parti.

“Fikirkanlah masa hadapan anak cucu kita kelak atas apa juga keputusan yang dilakukan. Oleh itu, teruskanlah berjuang atas nama parti,” ujarnya.