GABUNGAN Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) menggemakan semula seruan kami kepada Kerajaan Perpaduan di bawah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kepimpinan Perikatan Nasional (PN) untuk mengutamakan negara usai kempen yang gencar di dalam enam pilihan raya negeri (6PRN) yang baru berlalu. Masanya untuk semua kembali ke meja perundingan bagi membentuk perjanjian damai yang bukan sahaja akan memanfaatkan kedua-dua pihak tetapi lebih utamanya  adalah kepada rakyat. Pada 16 Julai, kami telah mengeluarkan kenyataan menggesa Kerajaan Persekutuan dan pembangkang untuk menjalin perjanjian damai selepas enam PRN. [1]

Politiking tidak berkesudahan yang membadai negara dalam beberapa tahun kebelakangan dan semakin rancak setiap kali pilihan raya bukan sahaja mengalihkan tumpuan kerajaan-kerajaan sebelum ini untuk melaksanakan tugas mereka, namun, pada pandangan kami, telah mengecewakan sebahagian besar rakyat Malaysia yang hanya mahu meneruskan cabaran hidup seharian. Isu 3R (Raja, Agama dan Bangsa) yang sering diputarkan telah menegangkan hubungan antara kaum yang hidup beriringan antara satu sama lain, mengancam keharmonian dan kedamaian yang kita nikmati sebagai sebuah negara.

Inti pati demokrasi adalah peluang kepada rakyat untuk memilih kerajaan dan inilah yang dikenali sebagai pilihan raya. Di Malaysia, pilihan raya negeri dan persekutuan dilakukan setiap lima tahun atas sebab-sebab yang baik. Tempoh ini memberikan parti atau gabungan tempoh untuk mentadbir, untuk membuktikan diri mereka dan bertahan sehingga penggal seterusnya, atau dibuang jika mereka tidak dapat membuktikan diri sendiri. Rakyatlah yang berhak menentukan siapa yang mempunyai mandat setiap lima tahun, bukan ahli politik yang mahu merampas kekuasaan pada setiap peluang yang mereka sendiri cipta.

Menolak keputusan pilihan raya dan sentiasa ingin mengubah kerajaan di pertengahan penggal adalah menghina kehendak rakyat dalam sistem demokrasi berparlimen dan sangat tidak bertaggungjawab kerana perkara ini akan merosakkan kepercayaan kepada sistem kerajaan dan demokrasi dalam negara. Hal ini perlu dihentikan, cukup-cukuplah. Masanya untuk semua parti memberi fokus kepada pembinaan negara bangsa dan untuk semua memainkan peranan yang bertanggungjawab sebagai kerajaan, pembangkang, masyarakat sivil dan rakyat.

Bersih menggesa PM Anwar Ibrahim memimpin dengan melaksanakan janji beliau melawan korupsi yang sistemik dan melaksanakan reformasi institusi yang akan meletakkan asas kepada tatakelola yang lebih baik untuk akauntabiliti dan kestabilan. Dengan majoriti dua pertiga di Parlimen, beliau boleh melaksanakan reformasi perundangan yang sangat diperlukan ini tanpa mendapat sokongan daripada pembangkang tetapi dengan semangat Kerajaan Madani, kami menggesa beliau untuk menghulur tangan dengan ikhlas kepada pemimpin PN bagi menghormati peranan penting mereka sebagai pembangkang dan wakil kepada rakyat yang memilih mereka.

Perjanjian Damai Semua Parti bersama pembangkang perlu luas dan terperinci, namun perlu meliputi 10 reformasi institusi dan penyusunan politik ini:

(1) Akta Penggal Tetap Parlimen supaya Parlimen ke-15 dapat berjalan sepenggal penuh sehingga 18 Disember 2027 dan SPR untuk mengumumkan tarikh pilihan raya tetap. Permohonan pembubaran awal hanya boleh dibentangkan kepada Yang di-Pertuan Agong oleh PM dalam dua keadaan: (a) kerajaan telah hilang majoriti; (b) usul menyokong hal ini lulus dua pertiga majoriti di Dewan Rakyat. Tanpa menjejaskan kuasa Istana untuk memperkenan pembubaran awal, dasar ini akan menambah kestabilan dan kebolehjangkaan politik bagi membina kepercayaan rakyat dan pasaran.

(2) Pengkanunan peruntukan dan proses bagi Mekanisme Kepercayaan di Parlimen, termasuklah Undi Pengesahan Kepercayaan (Confirmatory Vote of Confidence – CVC) selepas pelantikan PM baharu dan Undi Tidak Percaya Berkonstruktif untuk membuang PM. Mekanisme kepercayaan ini akan membangkitkan keyakinan dan memastikan kestabilan untuk kerajaan majoriti ataupun minoriti serta memelihara peranan perlembagaan ketua negeri.

(3) Pindaan kepada Peraturan Mesyuarat kedua-dua Dewan Negara dan Dewan Rakyat untuk memperkasakan ahli persendirian dan menjamin ketangkasan penyeliaan parlimen dengan penubuhan lebih banyak Jawatankuasa Tetap dan Pilihan Khas Parlimen serta memperuntukkan Urusan Bukan Kerajaan apabila Parlimen bersidang.

(4) Pengenalan semula Akta Perkhidmatan Parlimen untuk memastikan Parlimen lebih mandiri. Parlimen perlu mempunyai belanjawan tersendiri untuk membiayai staf, jabatan penyelidikan, jawatankuasa pilihan parlimen, dan malah pusat khidmat kepada anggota sendiri. Perkara ini adalah salah satu daripada reformasi yang belum terlunas di dalam MOU Ismail Sabri-PH.

(5) Pengiktirafan Kabinet Bayangan Pembangkang melalui peruntukan kepada Menteri Bayangan dan akses kepada maklumat yang mencukupi agar mereka dapat berfungsi dengan berkesan sebagai pembangkang yang konstruktif dan kerajaan menunggu.

(6) Akta Peruntukan Pembangunan Kawasan (CDF) untuk memastikan semua Ahli Parlimen mendapat peruntukan sama rata tanpa mengira parti. Undang-undang yang sama juga perlu diperkenalkan kepada 13 DUN yang lain.

(7) Akta Pendanaan Politik dengan pendanaan awam untuk parti politik bagi mencegah politik wang dan korupsi, serta untuk memenuhi keperluan parti bagi mendanai kos operasi dan aktiviti yang sah.

(8) Memperkukuhkan Dewan Negara untuk berfungsi sebagai penjaga hak negeri dan wilayah dengan pemilihan ahli dan satu pertiga kuasa veto untuk Sarawak, Sabah dan Labuan.

(9) Reformasi Jabatan Peguam Negara (AGC) dan SPRM untuk membuang kawalan politik oleh PM. Satu jawatan Pendakwa Raya perlu dibentuk berasingan daripada AG yang peranan utamanya untuk memberi nasihat undang-undang kepada kerajaan. Ketua SPRM perlu dilantik melalui jawatankuasa pilihan parlimen untuk memastikan kebebasan dan keadilan.

(10) Reformasi SPR agar badan ini menjadi bebas, adil, diperkasakan dan dipertanggungjawabkan ke Parlimen untuk memastikan pilihan raya bebas, adil dan mewakili. Fokus khas perlu diberikan untuk menambahbaik akses pengundian kepada pengundi luar kawasan dan pengundi yang sukar bergerak seperti OKU, pesakit hospital, rumah asuhan dan penjara.

Bola kini di kaki Perdana Menteri dan beliau perlu buktikan kelayakan beliau untuk terima mandat diberikan oleh rakyat dan gabungannya untuk mentadbir baki penggal selama empat tahun empat bulan lagi. Beliau perlu memulakan semua reformasi ini dan menghulur tangan kepada pembangkang untuk mendapatkan sokongan bagi melaksanakan reformasi insitusi ini. Tanpa reformasi politik dan insitusi ini, kerajaan beliau atau selepas ini, akan kekal rapuh menghadapi kudeta pertengahan penggal dan tuduhan salah guna kuasa eksekutif.

Berdasarkan pemerhatian kami bahawa pengundi di kedua-dua belahan politik ingin melihat korupsi dihapuskan dan PM tidak boleh berkrompomi atau dilihat berkrompomi dengan janji beliau untuk melawan korupsi. Reformasi untuk membebaskan SPRM dan AGC, serta reformasi pembiayaan politik adalah maha penting dalam perlawanan ini. Rakyat akan menilai kedua-dua gabungan ini melalui peti undi pada PRU16.



Kenyataan media ini dikeluarkan oleh:
Jawatankuasa Pemandu BERSIH