KUALA LUMPUR: Parti Warisan menuntut Parlimen bersidang dengan segera bagi membuktikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mempunyai sokongan di Dewan Rakyat.

Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, persidangan Parlimen itu akan menjernihkan keadaan politik semasa tanpa perlu menunggu sehingga bulan September.

"Usul Undi Percaya perlu menjadi satu-satunya isu yang perlu dibahaskan dalam waktu terdekat.

"Isu ini tidak boleh dicampur aduk dengan isu mengenai Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) dan Belanjawan 2022 yang dijadual dibahaskan pada bulan September," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

BACA: [LAPOR LANGSUNG] 'Tiada isu peletakan jawatan' - Muhyiddin

BACA: 'Ada pihak cetuskan kemelut politik, mahu saya campuri urusan mahkamah' - PM Muhyiddin

Selain itu, Mohd Shafie berkata, Warisan kekal dengan keputusan parti untuk tidak menyokong Kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Ahli Parlimen Semporna itu berkata semua Ahli Parlimen Warisan bertegas dengan pendirian dan keputusan mahu Muhyiddin dan menteri Kabinet untuk meletak jawatan.

Pendirian Warisan bersama-sama dengan beberapa wakil rakyat lain iaitu Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman; Ahli Parlimen Sri Aman, Datuk Masir Anak Kujat; Ahli Parlimen Selangau, Baru Bian dan Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

"Sebarang berita atau laporan yang disebarkan mendakwa Warisan menyokong PN adalah palsu dan berniat jahat," katanya.