PADAWAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mambong, Datuk Dr Jerip Susil enggan mengulas berkenaan permohonan Ahli Parlimen Puncak Borneo, Datuk Willie Mongin untuk menyertai Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

Ini kerana parlimen itu merupakan salah satu kerusi panas dan semua pihak harus bersatu bagi memastikan kerusi tradisi PBB itu berjaya ditakluki semula pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kelak.

“Tiada komen sebab Puncak Borneo antara kawasan sensitif, jadi kami tidak mahu  komen apa-apa dulu. Saya hanya boleh mengulas bahawa amat penting Puncak Borneo ditakluki semula oleh PBB dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

“Untuk itu semua pihak mesti bersatu untuk memastikan kemenangan GPS dalam pilihan raya umum akan datang.

“Saya tidak mahu memberi komen lain kerana apa yang penting semua orang bersatu, itu saja yang saya boleh cakap,” tegasnya.

Jerip berkata demikian kepada pemberita semasa sidang media Majlis Penutupan Program Keusahawanan (MINTRED) dan Majlis Penyerahan Cek MRP dan Mykhas DUN Mambong di Pejabat Daerah Kecil Padawan, dekat sini, pada Jumaat.

Sebelum ini, beberapa pemimpin PBB memaklumkan permohonan Willie akan dipertimbangkan melalui rundingan di peringkat akar umbi dan akan mendapatkan input daripada ketiga-tiga ADUN di bawah parlimen tersebut yang terdiri daripada DUN Mambong, Tarat dan Serumbu.

BACA: Nanta serah kepada pucuk pimpinan PBB tentukan permohonan Willie Mongin

BACA: Manyin 'sentap' Willie mohon masuk PBB


Bagaimanapun, bekas Naib Presiden Kanan PBB, Datuk Amar Michael Manyin Jawong, menyatakan bahawa beliau terasa hati dengan tindakan Willie Mongin yang menghantar permohonan untuk menyertai parti itu.

Tambah bekas ADUN Tebedu itu, tindakan ahli politik itu wajar dipersoalkan kerana memaparkan kredibiliti seorang wakil rakyat yang tidak jelas serta mengelirukan.

Pada Pilihan Raya Negeri ke-12 (PRN12) lalu, Willie Mongin memilih untuk tidak bertanding bagi memberi laluan dan sokongan penuh kepada kesemua calon GPS.

Politik | Nanta serah kepada pucuk pimpinan PBB tentukan permohonan Willie