Hari Penamaan Calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-11 kali ini ada keistimewaannya yang tersendiri.

Walaupun secara keseluruhannya nampak aman (sedikit salah faham ada berlaku di beberapa kawasan), ada pergolakan dalaman beberapa parti yang harus dilihat boleh 'meletup' menjelang hari pengundian pada 7 Mei depan.

Mungkin ini hasil perjanjian Pakatan Harapan yang ditandatangani sebelum ini, yang dakwa mereka mengikat dan maklumat terperinci mengenai prinsip dan kaedah dalam membina kesatuan politik, realitinya ia terbukti kalut pada hari penamaan calon.

Keresahan DAP dan PKR terutamanya sudah tidak boleh disembunyikan lagi.

Ia jelas dari kenyataan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang kecewa dengan tindakan PKR bertanding di lima kerusi yang telah diberikan kepada DAP.

BACA: Lapor Langsung Hari Penamaan Calon

BACA: Proses penamaan calon berjalan lancar, BN menang 2 kerusi

Ia juga tanda balas dendam apabila DAP memutuskan untuk meletakkan calon di kerusi Batu Kitang sebagai menjawab keengganan PKR mematuhi perjanjian yang telah dipersetujui secara bertulis oleh Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada 7 April lepas.

Jadi dari aspek apa hendak dikatakan Pakatan Harapan ini sebenarnya membawa harapan jika isu kecil penamaan calon sendiri tidak dapat diselesaikan dengan baik oleh pemimpin parti masing-masing.

Ujian pertama

Ia kegagalan ujian pertama Pakatan Harapan menghadapi pilihan raya besar dan menjadi batu ukur kepada rakyat sendiri yang melihat permasalahan itu terlalu sukar untuk diselesaikan menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 kelak.

Kekalutan itu akhirnya membawa kepada pertembungan sesama sendiri PKR, DAP, Pas dan AMANAH di beberapa kawasan.

Rakyat akan melihat minggu kempen ini, pastinya kawasan pertembungan sesama sendiri kumpulan Pakatan Harapan ini mengundang kekalutan dan kekeliruan pengundi.

Bayangkan ceramah di kawasan yang menghentam adik-beradik sesama Pakatan Harapan dan manifesto yang pastinya berbeza untuk dibentang kepada rakyat.

Kerana itu juga, kenyataan Pengerusi PKR Sarawak, Baru Bian yang mendakwa penamaan calon telah dibuat secara bersama (kolektif) di antara pimpinan negeri dan pusat dilihat mengelirukan.

Akhirnya Baru Bian sendiri mengakui proses perbincangan bukanlah satu yang mudah dan mendedahkan lima peratus kerusi tidak dapat mencapai kata putus sehingga ke akhirnya.

Pengundi pasti memilih calon yang lebih efisien dan tenteram, jauh sekali yang kalut serta bernaung di bawah kerjasama yang tidak menyakinkan.

BN sendiri walaupun melalui tempoh sukar dan pastinya getir sebelum nama-nama calon dikeluarkan, ia dilihat lebih sistematik selain minimum konflik dan sudah menyelesaikan semua kekalutan sebelum hari penamaan calon lagi.

Kesepakatan BN

Pada kali ini, hasrat Barisan Nasional (BN) terbukti tercapai apabila mendaftarkan calon mereka di kesemua 82 kerusi dan kesepakatan itu diperolehi lebih awal dari hari penamaan calon sendiri.

Lebih manis apabila dua calon BN iaitu Datuk Awang Tengah Ali Hasan di Bukit Sari dan Dr Abdul Rahman Ismail di Bukit Kota diumum Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menang tanpa bertanding tidak lama selepas selesai proses penamaan calon.

Kali ini, Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem dilihat berjaya mengatasi kekalutan parti apabila berjaya meletakkan bilangan yang agak ramai sebagai calon terus BN.

Memandangkan Pakatan Harapan tidak berdaftar, jadi opsyen membuat calon terus tidak ada pada mereka.

Mereka juga tidak ada pilihan lain apabila ada konflik atau menemui jalan buntu.

Kini pengundi akan menanti bagaimana manifesto parti-parti ini hendak direalisasikan.

Kemuncak kekalutan

Kekalutan akan timbul di pihak Pakatan Harapan kerana pertembungan sesama sendiri mereka di beberapa kawasan tidak akan selari dengan harapan yang dijanjikan di dalam manifesto.

Kekalutan itu juga akan menafikan mereka melihat pilihan raya ini dalam gambaran yang lebih luas selain membuka banyak ruang untuk rakyat melihat sendiri pendedahan kepincangan yang ada pada Pakatan Harapan.

Jadi apabila Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamad Azmin Ali sendiri mengakui pertembungan sesama sendiri itu sesuatu yang agak malang dan memberitahu perlunya menghormati autonomi pemimpin negeri.

Ia tanda jelas kekalutan itu bukan kelebihan yang boleh dibanggakan Pakatan Harapan.