Skip to main content

Politik

Pertahan demokrasi Malaysia daripada manipulasi digital, campur tangan asing - Azalina

KUALA LUMPUR, 9 Sept - Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said pada sidang media sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2026 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur hari ini. - fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Azalina berkata landskap perbincangan politik digital kini terdedah kepada ancaman manipulasi siber yang berupaya merosakkan integriti maklumat serta mempengaruhi persepsi awam secara tidak sihat. - Gambar fail/Bernama
Advertisement

KUALA LUMPUR: Sistem demokrasi di negara ini perlu terus dipertahankan secara tegas daripada sebarang bentuk manipulasi digital mahupun campur tangan pihak asing, kata Ketua Penerangan UMNO Datuk Seri Azalina Othman Said.

Beliau berkata landskap perbincangan politik digital kini terdedah kepada ancaman manipulasi siber yang berupaya merosakkan integriti maklumat serta mempengaruhi persepsi awam secara tidak sihat.

“Teknologi boleh menghasilkan seribu akaun dan seribu komen tetapi teknologi tidak boleh menentukan kebenaran dan apa yang sebenarnya rakyat di bawah rasai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau mengulas pendedahan berhubung penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) serta ribuan akaun palsu di platform media sosial yang dikesan cuba mempengaruhi perbincangan politik di Malaysia dan menyebarkan kandungan mengelirukan.

Azalina berkata pendedahan itu perlu diberi perhatian serius meskipun belum ada bukti operasi tersebut berjaya mengubah keputusan pilihan raya atau pendirian pengundi.

Beliau berkata Malaysia memerlukan ruang digital yang bebas daripada manipulasi siber namun pada masa yang sama kekal terbuka serta menghormati hak rakyat untuk menyuarakan kritikan dan perbezaan pandangan.

“Penerangan UMNO menyeru rakyat supaya lebih berhati-hati sebelum mempercayai apa yang mereka baca, lihat atau temukan di ruangan komen. Semak sumber, semak fakta, bezakan berita dengan pendapat dan jangan membiarkan jumlah likes, shares atau komen menentukan apa yang kita percaya,” katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement