POLITIK
Pertemuan PM Anwar, Ahli Parlimen BN bincang dasar, isu semasa - Zambry

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Seri Zambry Abd Kadir menyampaikan ucapan perasmian pada Mesyuarat Perwakilan UMNO 2025 Bahagian Jeli, di Kompleks UMNO Jeli, Bukit Nangka hari ini. - Foto Bernama
JELI: Pertemuan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) malam tadi, adalah bagi membincangkan dasar kerajaan dan memperjelaskan isu semasa yang berbangkit, kata Setiausaha Agung BN Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.
Ringkasan AI
- PM Anwar adakan pertemuan dengan Ahli Parlimen BN: Pertemuan di Seri Perdana bertujuan membincangkan dasar kerajaan dan isu semasa menjelang sidang Parlimen akan datang.
- BN sebagai komponen aktif Kerajaan Perpaduan: Zambry nyatakan mesyuarat seperti ini kerap diadakan untuk pertukaran pandangan antara BN dan parti komponen lain dalam kerajaan.
- Seruan UMNO Kelantan teruskan semangat perjuangan: Zambry gesa ahli UMNO di Kelantan kekalkan semangat seperti ditunjukkan semasa PRK Nenggiri, sebagai asas kekuatan parti di negeri itu.
"Kita berbincang dan Perdana Menteri sampaikan perjelasan dasar kerajaan dan lain-lain lagi," katanya selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Jeli di Bukit Nangka, di sini hari ini.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dengan Ahli Parlimen BN di kediaman rasmi Perdana Menteri, Seri Perdana di Putrajaya.
Pertemuan yang berlangsung lebih sejam itu dipercayai turut membincangkan mengenai sidang Parlimen yang akan datang.
Sementara itu, ketika berucap pada mesyuarat tersebut, Zambry yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO meminta ahli parti di Kelantan supaya terus membina keyakinan diri dan meneguhkan semangat dalam meneruskan perjuangan UMNO di negeri ini.
"Semangat tidak pernah luntur dalam perjuangan harus dimiliki oleh semua ahli UMNO di Kelantan, sebagaimana semangat yang ditunjukkan ketika Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri yang dimenangi BN pada tahun lepas.
"Kita gerakkan jentera, turun bantu dan semua tidak jangka kita akan menang ketika itu, rahsianya kerana kekuatan dan kesungguhan yang ada dalam jiwa ahli UMNO Kelantan semua," katanya.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami