Skip to main content

Politik

PH-Bersatu bakal bekerjasama? Anwar serah kepada Amirudin

AWANI
Anwar bercakap kepada media selepas menghadiri Majlis Hi-Tea Reunion Perintis Reformis di Grand Ballroom, SITC, Shah Alam pada Ahad. - Foto Astro AWANI
Advertisement

SHAH ALAM: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata sebarang perbincangan berhubung kemungkinan kerjasama antara  Pakatan Harapan (PH) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) diserahkan kepada Pengarah Pilihan Raya PH yang juga Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

“Yang itu saudara Datuk Seri Amirudin Shari yang bincang,” katanya ketika ditanya mengenai keterbukaan Bersatu untuk mengadakan perbincangan dengan PH.

Beliau yang jugha Pengerusi PH berkata demikian kepada media selepas menghadiri Majlis Hi-Tea Reunion Perintis Reformis di Grand Ballroom, SITC, Shah Alam pada Ahad.

Terdahulu, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilaporkan tidak menolak kemungkinan perbincangan kerjasama politik baharu turut membabitkan PH.

Mengulas mengenai kiasan wujudnya ‘lambaian’ dan pihak yang mula ‘melamar’ Bersatu, Muhyiddin berkata partinya mengambil sikap terbuka untuk berunding dengan mana-mana pihak.

Ketika ditanya sama ada pihak yang mendekati Bersatu termasuk PH, Muhyiddin tidak memperincikan mana-mana gabungan secara khusus, sebaliknya menegaskan keterbukaan itu melibatkan semua pihak.

“Saya menyatakan secara umum memang ada lambaian untuk berjumpa dan berbicara. Semua. Jadi kami mengambil sikap terbuka.

“Saya tak sebut satu per satu, saya sebut semua,” katanya selepas Sambutan Ulang Tahun ke-10 Bersatu di Petaling Jaya pada Sabtu.

Must Watch Video

Advertisement