KUALA LUMPUR: Pemimpin Pakatan Harapan (PH) perlu mengadakan perbincangan dan mengambil langkah proaktif sebelum Konvensyen Khas DAP pada 16 Ogos ini.
Menurut Felo Penyelidik Ilham Centre Mujibu Abd Muis, ini bagi memastikan perwakilan DAP mendapat gambaran jelas mengenai usaha yang sedang dilakukan PH dan Kerajaan Perpaduan dalam melakukan reformasi yang diperjuangkan selama ini oleh gabungan itu.
"Perkara itu penting kerana referendum DAP bukan sahaja berkaitan hala tuju parti berkenaan, malah turut membawa isyarat kepada PH dan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Perkembangan politik dalam beberapa pilihan raya negeri (PRN) sebelum ini menunjukkan terdapat kemerosotan sokongan terhadap PH, termasuk parti-parti komponennya.
"Keadaan itu perlu diberi perhatian serius oleh kepimpinan PH sebelum perwakilan DAP membuat keputusan dalam konvensyen khas berkenaan," katanya kepada Astro AWANI, pada Isnin.
Mujibu berkata, pemimpin PH tidak seharusnya hanya mengambil pendekatan neutral dengan menyerahkan sepenuhnya kepada DAP untuk menentukan pendirian berhubung referendum itu.
Katanya, kebanyakan pemimpin tertinggi PH ketika ini dilihat mengambil pendekatan berhati-hati dan tidak mahu mengulas secara terbuka mengenai kemungkinan DAP keluar daripada kerajaan.
"Pada saya, itu tidak memberi sebarang kelebihan kepada PH kerana ia tidak memberi bayangan dan gambaran apa yang mereka sedang lakukan untuk memperbaiki keadaan.
"Sebaliknya PH perlu mengadakan perbincangan dalaman dan menjelaskan kepada perwakilan DAP mengenai langkah pembaharuan serta usaha penambahbaikan yang sedang dilakukan.
"Penjelasan berkenaan boleh memberi keyakinan kepada perwakilan bahawa kerajaan dan PH menyedari isu yang berlaku serta sedang mengambil tindakan untuk menanganinya," ujarnya.
Mujibu berkata pendekatan itu juga berpotensi mewujudkan ruang untuk DAP terus kekal bersama kerajaan, namun dengan sokongan yang bersifat bersyarat.
"Kalau ada kenyataan bahawa di peringkat PH mereka sedang berusaha membuat pembaharuan, memperbaiki keadaan dan beri sedikit kelegaan, ia boleh memberi gambaran kepada perwakilan DAP bahawa sesuatu sedang dilakukan.
"Perwakilan DAP mungkin bersedia untuk terus kekal dalam kerajaan sekiranya diberikan tempoh masa bagi PH melaksanakan langkah penambahbaikan yang dijanjikan.
"Dalam keadaan itu mungkin perwakilan akan kata, kita kekal tetapi beri tempoh masa. Isyarat sokongan ini sifatnya bersyarat, kita kekal tetapi perlu lakukan sesuatu," katanya.
Mujibu berkata kegagalan PH memberikan gambaran sedemikian berisiko menyebabkan perwakilan DAP mengambil keputusan yang di luar jangka ketika konvensyen khas itu.
Jelasnya, keputusan referendum sama ada DAP memilih untuk kekal atau keluar daripada kerajaan mempunyai implikasi besar terhadap kestabilan Kerajaan MADANI.
Konvensyen Kebangsaan DAP yang dijadualkan pada 16 Ogos ini akan membincangkan usul penting mengenai hala tuju parti serta menentukan sama ada DAP kekal dalam Kerajaan Persekutuan, selain mengambil kira persiapan menghadapi pilihan raya.