Skip to main content

Politik

PH Pulau Pinang kekalkan exco BN dalam pentadbiran negeri

51732247097_ChowKonYeow.jpg
Chow Kon Yeow berkata keputusan itu dicapai pada Mesyuarat PH negeri hari ini berdasarkan kesefahaman kerjasama yang terjalin antara PH dan BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023. - Gambar fail
Advertisement

GEORGE TOWN: Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang membuat keputusan mengekalkan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Barisan Nasional (BN) dalam pentadbiran kerajaan negeri hingga Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Pengerusi PH Pulau Pinang Chow Kon Yeow berkata keputusan itu dicapai pada Mesyuarat PH negeri hari ini berdasarkan kesefahaman kerjasama yang terjalin antara PH dan BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023.

"Dalam menghadapi PRU akan datang, PH Pulau Pinang percaya masih terdapat ruang untuk memperkukuh kerjasama antara parti-parti gabungan dan mempercepat agenda reformasi yang menjadi asas perjuangan PH," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat berkenaan di Wisma DAP di sini hari ini.

Exco BN berkenaan ialah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Agroteknologi dan Keterjaminan Makanan Pulau Pinang Datuk Rashidi Zinol.

Chow yang juga Ketua Menteri berkata PH Pulau Pinang turut mengambil iktibar daripada keputusan PRN Johor dan Negeri Sembilan dengan setiap kerusi di negeri itu akan dianalisis dari pelbagai sudut pada PRU ke-16.

Selain itu, Chow berkata PH akan menguasai medan naratif termasuk berani mengakui kelemahan sendiri, menguasai ruang digital dengan lebih berkesan dan mendalami kelompok pengundi yang semakin besar iaitu generasi Undi18.

Beliau yakin PH Pulau Pinang masih mempunyai kekuatan kukuh kerana mampu mentadbir dengan stabil, berintegriti serta memacu pertumbuhan ekonomi, menarik pelaburan, mewujudkan peluang pekerjaan dan melaksanakan dasar yang memberi manfaat kepada rakyat.

Bagaimanapun, beliau berkata gabungan itu tidak boleh terlalu selesa dengan prestasi pentadbiran kerajaan negeri kerana persepsi dan sentimen rakyat sering bergerak lebih pantas berbanding fakta.

Pada PRN Pulau Pinang 2023, gabungan PH dan BN menubuhkan Kerajaan Perpaduan selepas memenangi 29 daripada 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan dengan DAP memenangi kesemua 19 kerusi ditandingi, PKR (tujuh), Amanah (satu) dan BN (dua).

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement