LENGGENG: Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin menyeru Pakatan Harapan (PH) bermuhasabah terhadap kegagalan menarik sokongan pengundi Melayu.
Menurut Khairy, berdasarkan satu kajian yang dijalankan pihaknya, calon PH memperoleh kurang daripada 10 peratus undi Melayu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor lalu.
Tegasnya, PH tidak wajar terus menyalahkan pihak lawan dengan memainkan sentimen perkauman setiap kali berdepan kritikan, sebaliknya perlu menilai punca sebenar mereka kurang mendapat sokongan daripada masyarakat Melayu.
“Hari itu saya ada sebut bahawa persepsi serta sensitivi pengundi Melayu tidak diurus dengan baik oleh PH. Jadi mereka marah kata saya mainkan sentimen perkauman.
“Saya nak minta PH cuba renungkan dan bermuhasabah diri sedikit. Di Johor, saya baru dapat angka daripada kajian yang saya lakukan, calon PH sebenarnya tidak dapat 10 peratus pun undi orang Melayu.
“Jadi cuba tanya diri sendiri, sebelum menyalahkan orang lain kononnya mainkan isu perkauman dan sebagainya, mengapa PH sangat tidak popular dalam kalangan pengundi Melayu waktu PRN Johor tempoh hari, tak sampai 10 peratus pun.
“Pasti ada sebabnya, jangan salahkan kami di Barisan Nasional dan Perikatan Nasional yang tiada kaitan. Tanya diri sendiri dulu kenapa raih kurang 10 peratus sokongan pengundi Melayu,” dakwanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri program kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16, di sini, pada Jumaat.
Sebagai rekod, dalam PRN Johor 2026, Barisan Nasional menperoleh 48 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), manakala Pakatan Harapan memegang lapan kerusi.
Pada Khamis, Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Abdul Samad berkata kerjasama antara BN dan Perikatan Nasional (PN) yang membawa naratif ‘perpaduan ummah’ boleh memecahbelahkan masyarakat.
Menurut Khalid, perpaduan itu dibina atas niat kejahatan dan perbalahan dengan tujuan menjatuhkan sebuah kerajaan yang jelas berprestasi tinggi.