SHAH ALAM: Pas menyatakan kebimbangan berhubung kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berhubung untuk membuka laluan perbincangan bagi pelaksanaan Pilihan Raya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Kuala Lumpur.

Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, perkara itu tidak sepatutnya diberi perhatian, sebaliknya kerajaan perlulah memberikan fokus terhadap agenda kesejahteraan rakyat bandar sebagai perkara utama.

"Kenyataan beliau seolah-olah menunjukkan Kerajaan Madani tunduk dengan desakan DAP.

"Perdana Menteri harus menghentikan agenda ini jika mahu rakyat melihat bahawa Kerajaan Madani tidak ditekan oleh DAP.

"Kita tidak boleh bertolak ansur dalam agenda seperti ini kerana bimbang bila kita terlalu baik, bertolak ansur, lama-lama kita ditolak beransur-ansur," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Dalam masa sama katanya, kerajaan digesa tidak tunduk dengan desakan DAP untuk mengadakan Pilihan Raya PBT kerana didakwa akan membuka ruang berlakunya polarisasi kaum yang lebih besar dan ketara antara penduduk bandar dan luar bandar.

Tuan Ibrahim berkata, keputusan kerajaan semenjak 50 tahun dahulu yang memansuhkan Pilihan Raya PBT sepertimana jelas termaktub dalam Akta Kerajaan Tempatan 1976 amat tepat.

Menurutnya, ia antara lain bertujuan untuk menghindari penguasaan kerajaan tempatan oleh satu-satu kumpulan etnik bagi menutup kemungkinan berlakunya ketegangan dan ketidakharmonian kaum dalam masyarakat.

"DAP tidak pernah berhenti memperjuangkan agenda mereka.

"Dari dulu hingga sekarang, DAP konsisten untuk mengadakan Pilihan Raya PBT.

"Ini bagi merealisasikan agenda mereka menguasai bandar-bandar besar yang mempunyai pendapatan besar dan juga pusat ekonomi rakyat," katanya.

*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian