KLANG: Pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memilih Datuk Bandar dan Ahli Majlis jika ia dilaksanakan semula, perlu memastikan berlaku situasi 'menang-menang' melibatkan semua kaum.

Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pelaksanaan pilihan raya berkenaan hendaklah dibincangkan secara terperinci bagi memastikan semua kaum berasa puas hati dan selamat.

"Tetapi pilihan raya ini pada masa akan datang perlu difikirkan kerana PBT kalau dipilih oleh rakyat, dia kena bekerja betul-betul untuk kepentingan rakyat dan bukan untuk ketua parti.

"Ini sekarang ini macam nak lantik ahli majlis dan sebagainya, dia kena 'melobi' ketua parti... tetapi (apabila) melibatkan rakyat yang memilih, dia (individu terbabit) kena mengambil hati rakyat," katanya ketika menyampaikan Ucapan Penggulungan pada Konvensyen Amanah Negara Nasional 2023 di sini pada Ahad.

Pilihan raya PBT kembali diperkatakan selepas Pengerusi DAP Wilayah Persekutuan, Tan Kok Wai mencadangkan perkara itu pada 17 Disember lalu.

Cadangan berkenaan kemudiannya dibantah segelintir pihak, termasuk pemimpin Pas dan UMNO, dengan rata-ratanya berpandangan ia berisiko mencetuskan pergeseran kaum.

Pilihan raya PBT pernah dilaksanakan di negara ini sebelum dimansuhkan selepas peristiwa rusuhan kaum pada 13 Mei 1969, selaras dengan penyusunan semula masyarakat.

Mengulas lanjut, Mohamad yang juga Ahli Parlimen Kota Raja menegaskan cadangan pelaksanaan semula pilihan raya PBT juga perlu dilakukan secara berhati-hati agar tidak mengakibatkan mana-mana kaum tercicir.

"Bila ada pilihan di peringkat PBT ini, itu kena buat kajian yang lebih mendalam, supaya semua kaum berada dalam keadaan 'win win' dan berpuas hati dengan satu sama lain," tambah beliau.

Sementara itu, Mohamad yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan yakin bahawa Kerajaan Perpaduan yang terbina hasil daripada gabungan pelbagai parti akan terus dapat dipertahankan, menyifatkan 'bumbungnya' kini sudah kukuh.

"Saya yakin jika perpaduan kita elok, pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), insya-Allah Kerajaan Perpaduan kembali memerintah dengan lebih bergaya.

"Kita tak boleh melihat di empat negeri iaitu Terengganu, Kelantan, Perlis dan Kedah, hanya (menang) satu Parlimen yang kita perolehi tetapi kalau campurkan dengan undi Barisan Nasional (BN) dan undi Pakatan Harapan (PH) kita akan memperolehi banyak kerusi di empat negeri itu.

"... dengan kekuatan sedia ada di Sabah, Sarawak, Johor, Negeri Sembilan, Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Melaka dan lain-lain, kita dapat kembali memerintah dengan lebih selesa pada PRU akan datang," ujar beliau.