Kerajaan negeri Kelantan tetap akan membentangkan rang undang-undang bagi pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 pada persidangan Dewan Undangan Negeri Kelantan (DUN) pada 18 Mac ini.

Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata kerajaan negeri telah berbincang dengan penasihat undang-undang negeri dan mendapati tidak terdapat sebarang masalah untuk rang-rang undang-undang itu dibentangkan pada persidangan DUN walaupun Pengerusi Biro Undang-Undang DAP
Gobind Singh Deo meminta PAS mempertimbangkan semula pindaan itu.

"Kita sudah bincang (berkaitan pindaan itu) dan tidak ada sebarang masalah untuk kita bentangkan pada 18 Mac ini. Ini dipersetujui oleh penasihat undang-undang negeri," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat bulanan PAS Pusat yang diadakan di sini, hari ini.

Mohd Amar berkata dari segi format rang undang-undang itu kelihatan seperti sesuatu yang baharu tetapi sebenarnya ia pindaan kepada enakmen berkenaan yang telah diluluskan DUN Kelantan pada 1993.

Semalam, kerajaan negeri Kelantan mengadakan taklimat berhubung pindaan enakmen berkenaan kepada kepimpinan pakatan pembangkang di bangunan Parlimen, Kuala Lumpur dan Gobind dilaporkan meminta PAS mempertimbangkan semula pindaan tersebut.

Persidangan khas DUN Kelantan bagi membentangkan rang undang-undang itu dijadualkan mulai 16 hingga 19 Mac. Sidang khas itu sepatutnya diadakan pada 29 Dis tahun lepas namun ditangguhkan berikutan banjir besar melanda negeri ini.