KUALA LUMPUR: Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan berbincang terlebih dahulu jika ada pemimpin UMNO yang dipecat mahu menyertai mereka.

Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, beliau tidak boleh membuat keputusan itu secara berseorangan sebaliknya ia perlu dibuat secara kolektif.

“Yang itu kita kena bincang dahulu di peringkat parti. Ia bukan keputusan saya seorang.

“Saya rasa kita kena tengok perkembangan satu demi satu,” katanya kepada pemberita selepas Program Syarahan Parlimen Siri 1.0: Reset Ekonomi Malaysia di Parlimen pada Jumaat.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Puad Zarkashi menerusi hantaran di Facebooknya berkata, bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan bekas Ahli Parlimen Tanjung Karang, Tan Sri Noh Omar dipecat daripada parti itu serta merta.

Katanya, UMNO turut menggantung keahlian beberapa pemimpin lain selama enam tahun antaranya ialah Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan bekas Ketua Penerangan, Shahril Sufian Hamdan.

Selain itu, turut mengalami nasib sama adalah ahli MKT, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya, Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang dan bekas Ahli Parlimen Jempol, Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif.

Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan menambah, perbincangan di peringkat parti itu akan dibuat jika perkara berkenaan timbul.

“Sekarang ini perkara itu tidak timbul. Kalau perkara itu timbul, sudah pasti PKR kena bincang.

“Dan kita tak sampai ke situ lagi. Tidak timbul lagi. Selagi belum timbul, ia akan jadi spekulasi sahajalah,” ujarnya. -Sinar Harian