Skip to main content

Politik

PKR dua dekad: Perjuangan tidak mudah, jangan terperangkap kejayaan lampau - Fuziah

71737903644_FuziahSalleh.jpg
"Setiap ujian mematangkan kita, setiap kekalahan membuka ruang untuk bermuhasabah," ujar Dr Fuziah menerusi hantaran di Facebook hari ini. - Gambar fail
Advertisement

KUALA LUMPUR: Jatuh bangun Parti Keadilan Rakyat (PKR) menunjukkan bahawa perjuangan tersebut tidak pernah melalui jalan yang mudah namun pada masa sama tidak boleh terus terperangkap dengan nostalgia dan kejayaan lampau, ujar Datuk Dr Fuziah Salleh.

Fuziah selaku Setiausaha Agung PKR turut menyatakan sepanjang dua dekad penubuhannya, PKR telah melalui pelbagai ujian dengan keputusan pilihan raya yang kadangkala tidak memihak kepada parti.

“Setiap ujian mematangkan kita, setiap kekalahan membuka ruang untuk bermuhasabah dan setiap cabaran mengingatkan kita bahawa perjuangan membina sebuah Malaysia yang lebih baik masih belum selesai,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi hantaran di Facebook bersempena 23 tahun penubuhan Parti Keadilan Rakyat hari ini.

Fuziah turut mengimbau pengalaman Pilihan Raya Umum (PRU) 2004 apabila PKR hanya memenangi satu kerusi Parlimen, iaitu Permatang Pauh.

Menurutnya, pengalaman itu menjadi titik kebangkitan apabila PKR bersama Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Islam Se-Malaysia (Pas) dalam gabungan Pakatan Rakyat berjaya menafikan majoriti dua pertiga Barisan Nasional (BN), gabungan parti yang memerintah sejak merdeka, pada PRU 2008.

Pada masa sama, Fuziah turut menyatakan perjuangan PKR membuahkan hasil kerana berjaya mengangkat Presidennya Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10 selepas PRU 2022.

“Ramai yang merasakan perjuangan ini tidak akan mampu bertahan lama, tetapi kami memilih untuk terus ke depan dan belajar daripada setiap kelemahan hinggalah kami berjaya mencipta sejarah,” katanya.

Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan pada Sabtu lalu menyaksikan PKR gagal memenangi sebarang kerusi yang ditandingi.

Sementara itu, pada PRN Johor pada Julai lalu, PKR hanya berjaya mempertahankan satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), Puteri Wangsa, menerusi bekas Menteri Pendidikan, Maszlee Malik.


 

Must Watch Video

Advertisement