KAMPAR: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak sedang melakukan tapisan teliti dan berhemah serta tidak akan tergesa-gesa dalam mengisi jawatan lantikan politik melibatkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) dan ketua kampung.

Setiausaha PKR Perak Mohd Azlan Helmi berkata langkah itu penting bagi memastikan setiap lantikan baharu dibuat secara tertib dan mengikut prosedur.

"Memang kita ingin segerakan lantikan khususnya melibatkan ketua kampung dan ahli majlis PBT, malah Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad pun ada nyatakan sebelum ini ia dalam fasa akhir.

"Berkenaan lantikan GLC, sudah ada nama-nama yang ditapis di peringkat kepimpinan PKR Perak bagi memastikan mereka yang dipilih benar-benar layak dan selepas itu kita akan serahkan kepada pimpinan Pakatan Harapan (PH) Perak untuk dipersetujui," kata Mohd Azlan yang juga Pengerusi Komunikasi, Multimedia dan NGO dalam sidang media selepas merasmikan Karnival Wow Perak FM Tualang Sekah Kita Bersaudara hari ini.

Dilapor, PH diberikan 65 peratus kuota untuk diisi ketiga-tiga komponen parti bagi semua jawatan lantikan politik di negeri ini dan selebihnya akan diisi oleh parti-parti di dalam Barisan Nasional (BN) yang merupakan gabungan di dalam kerajaan negeri.

Dalam pada itu, Mohd Azlan berkata Karnival Wow Perak FM itu bertujuan mendekati masyarakat melalui pelbagai aktiviti dan pertandingan menarik di Tualang Sekah.

"Banyak agensi yang terlibat bagi memudahkan penduduk di sini malah, ada yang ambil peluang lakukan saringan kesihatan percuma yang disediakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Yayasan Perak, Tourism Perak, JPJ (Jabatan Pengangkutan Jalan), selain kaunter khidmat peguam turut disediakan.

"Pengisian karnival anjuran Perak FM ini juga cukup menarik, sesuai untuk golongan dewasa dan kanak-kanak," katanya.

Terdahulu Mohd Azlan turut menyempurnakan pelepasan kenderaan Perak FM bagi mengedarkan barangan keperluan termasuk peralatan kesihatan kepada penduduk di sekitar Tualang Sekah.

-- BERNAMA