IPOH: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak mahu bertanding lebih banyak kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Pada PRU14, parti itu bertanding di 14 kerusi DUN dan menang empat daripadanya iaitu Simpang Pulai, Teja, Ulu Kinta dan Kuala Kurau.

Pengerusi PKR Perak, Chan Lih Kang berkata, mereka mahu bertanding lebih banyak kerusi dan menyumbangkan sekurang-kurangnya 10 kerusi DUN untuk membantu Pakatan Harapan (PH) membentuk kerajaan negeri.

Bagaimanapun, katanya, perkara tersebut masih belum diputuskan kerana ia akan dibincangkan terlebih dahulu dalam kalangan parti komponen PH.

“Rundingan kerusi di peringkat Pusat akan bermula pada hari Khamis ini.

“Rundingan untuk DUN, kita akan sambung, sebelum ini mungkin dalam 80 hingga 90 peratus sudah selesai,” katanya dalam sidang media di Pejabat PKR Perak di sini, hari ini.

Pada sidang media itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Tanjung Malim, turut mengumumkan barisan baharu Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Perak bagi sesi 2022-2025.

Timbalan Pengerusi ialah Mohd Hairul Amir Sabri (Kerua Cabang Kuala Kangsar) manakala tiga Naib Pengerusi ialah Muhamad Arafat Varisai Mahamad (Ketua Cabang Tambun), S. Kesavan (Ketua Cabang Sungai Siput) dan Abdul Razak Nazri (Ketua Cabang Lumut).

Mengenai kedudukan Muhamad Arafat yang dikatakan telah diumumkan di dalam mesyuarat Biro Politik PKR Pusat sebelum ini sebagai Timbalan Pengerusi, Lih Kang berkata, perkara itu tidak timbul sama sekali.

“Senarai yang telah saya bentangkan ini telahpun mendapat dari Presiden (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan juga Politik, jadi isu ini tidak timbul,” ujarnya.