KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memberi jaminan kepada pimpinan MIC, bahawa Kerajaan Perpaduan akan menumpukan kepada usaha menyelesaikan isu yang melingkari kaum India, khususnya berkenaan miskin tegar dan pendidikan.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata, beliau memahami rungutan MIC tentang bagaimana mereka mendakwa seperti dianak tiri dalam Barisan Nasional (BN), terutamanya dalam soal pengagihan kerusi bagi enam pilihan raya negeri (PRN), serta jawatan dalam Kabinet dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Namun, tegasnya lagi, situasi negara pada masa kini memerlukan semua pihak meletak tepi soal kepentingan politik buat sementara, tetapi perlu bersama-sama menyelesaikan isu yang lebih penting seperti soal kemiskinan tegar.

“Saya ingin memberi jaminan kepada anda (pimpinan dan akar umbi MIC), ini bukan kenyataan politik semata-mata. Kita mungkin mempunyai pendapat yang berbeza, tapi jangan persoalkan bahawa saya ingin berkhidmat kepada negara, ingin memastikan setiap penduduk ada tempat di negara ini, dan bangga menjadi rakyat Malaysia.

“Pimpinan kanan BN, UMNO sudah tentu, termasuk MIC dan MCA telah membuat keputusan yang kritikal, di bawah situasi yang sangat rumit untuk menyokong pembentukan Kerajaan Perpaduan.

“Dan saya sejujurnya mengharapkan agar pencapaian kita dalam tempoh lapan bulan lepas, membuktikan kita sedang melalui laluan baharu. Satu anjakan dari polisi lalu yang hanya menimbulkan perpecahan dan sarat dengan naratif politik,” katanya lagi.


Beliau berkata demikian kepada akar umbi MIC dalam pertemuan khas bersama mereka di Dewan Sivaji, Bangunan MIC di ibu negara hari ini.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri merangkap Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Presiden MIC Tan Sri SA Vigneswaran, Timbalan Presiden MIC Datuk Seri M Saravanan, serta pimpinan kanan MIC di bahagian pusat dan bahagian.

"Buatlah keputusan yang betul.." - PM Anwar


Berucap lanjut, Anwar mengingatkan para hadirin bahawa tanggungjawab beliau sebagai Perdana Menteri bukan kepada satu kaum semata-mata, tetapi kepada semua kaum dan etnik di negara ini.

"Saya tak kata saya satu-satunya pemimpin Melayu yang berani berhujah begini ... tetapi tak ramai yang berani untuk berdepan dengan rakyat, berdepan dengan kelompok yang guna isu perkauman, yang sengaja membangkitkan isu agama dengan keras. Saya sama sekali tidak akan bertolak ansur.

"Kalau saya pimpin, selaku Perdana Menteri, saya tidak akan bertanggungjawab dalam memenuhi tugas saya kalau saya tidak menjaga kepentingan semua kaum di negara ini," tegasnya lagi.

Media sebelum ini melaporkan pimpinan kanan MIC berhasrat untuk bertemu dengan Perdana Menteri bagi menyuarakan rasa tidak puas hati mereka, seolah-olah parti itu tidak mempunyai kepentingan dalam Kerajaan Perpaduan.

Vigneswaran dalam ucapan pendahuluannya berkata, MIC seperti dianaktirikan dalam soal jawatan, serta soal pembahagian kerusi dalam enam pilihan raya negeri yang sedang berlangsung ketika ini.

Bagaimanapun bekas Presiden Dewan Negara itu berkata, beliau memberi jaminan parti itu akan terus menyokong Anwar selaku Perdana Menteri, bagi menjamin kestabilan dan perjuangan terhadap kaum India di negara ini.