KOTA BHARU: Perikatan Nasional (PN) mampu membuat kejutan dengan memenangi kerusi yang dipertandingkan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram, 9 September ini.

Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, keyakinan itu berdasarkan keputusan pada pilihan raya negeri (PRN) di keenam-enam negeri baru-baru ini yang memperlihatkan kebangkitan sokongan kepada PN terus meningkat.

Katanya, perkara itu terbukti melalui pencapaian PN terutama di Selangor dan di Negeri Sembilan.

“Di Negeri Sembilan walaupun tak banyak kerusi dimenangi, tapi kami berjaya memecahkan penguasaan Pakatan Harapan (PH) dan di Selangor juga kejayaan besar kerana kami berjaya menafikan majoriti dua pertiga PH apabila memperolehi 22 daripada 56 kerusi yang dipertandingkan.

“Itu pun kalau tidak kerana ada beberapa isu dalaman, mungkin kami boleh menguasai Selangor baru-baru ini. Jadi, ini satu potensi yang besar dan insya-ALLAH kami boleh membuat kejutan dalam PRK ini serta tidak mustahil akan memenangi kerusi-kerusi itu,” katanya ketika ditemui pemberita di Panchor di sini, pada Khamis.

Menurut Mohd Amar, pihaknya juga menaruh harapan tinggi dalam PRK di DUN Pelangai yang akan diadakan pada 7 Oktober ini dan akan meletakkan calon terbaik di kerusi Pulai serta Simpang Jeram bagi memastikan kemenangan PN.

Beliau berkata, melihat kesan jangka panjang jika PN menang di Pulai dan Simpang Jeram, akan mengukuhkan lagi kedudukan gabungan politik antara Pas serta Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

“Jika kami menang di dua kerusi itu, akan membuka laluan lebih mudah untuk PN menguasai Putrajaya dalam pilihan raya umum akan datang.

“Terutamanya di Pulai kerana bagi kami, sudah meletakkan calon yang terbaik di kerusi itu yang mampu memenuhi aspirasi PN,” ujar Mohd Amar.

Dakwa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panchor itu, penolakan terhadap UMNO terutama presiden parti, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi amat ketara dalam pilihan raya lepas.

Katanya, penolakan itu akan membantu memberikan kemenangan kepada PN dalam PRK di kerusi-kerusi dipertandingkan selain situasi politik membabitkan Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang digantung keahlian dalam UMNO akan turut memainkan peranan.

“Semua tokoh yang ada di Johor dan cenderung kepada PN, kami percaya boleh membantu PN untuk menarik undi terutama daripada penyokong-penyokong dan juga ahli-ahli UMNO sendiri.

“Saya percaya penolakan terhadap UMNO akan terus berlaku. Jadi, kita yakin boleh ambil balik kerusi,” kata beliau. - Sinar Harian