KUALA SELANGOR: Pembahagian kerusi dalam kalangan gabungan Perikatan Nasional (PN) akan dimuktamadkan pada Isnin bagi menghadapi enam Pilihan Raya Negeri (PRN).

Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, perbincangan mengenai pembahagian kerusi itu dijangka selesai kira-kira jam 5 petang.

"Pembahagian (kerusi) PN esok 'final' di (Ibu Pejabat PN) di Publika, Kuala Lumpur," katanya ketika ditemui pada Program Jelajah Selangor Baharu di Kompleks Pas Tanjong Karang pada malam Ahad.

Ditanya adakah kedatangan beliau membawa pendekatan dan strategik politik PN bagi menawan Selangor, Muhammad Sanusi menafikan perkara berkenaan.

"Pendekatan dan strategi itu, orang (pemimpin) di sini (peringkat negeri) yang tentukan, bukan saya," ujarnya.

Pada 17 Mei lalu, Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan sudah hampir memuktamadkan pembahagian kerusi dalam menghadapi PRN di enam negeri.

Perbincangan mengenai perkara itu turut dibangkitkan pada mesyuarat Majlis Tertinggi PN yang berlangsung pada 23 Mei lalu.

Beliau sudah mengarahkan pasukan perunding setiap parti menyelesaikan agihan kerusi iaitu Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu; Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Presiden Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau. - Sinar Harian