KUALA LUMPUR: Perikatan Nasional (PN) perlu meningkatkan lagi usaha untuk menarik sokongan masyarakat bukan Melayu dan Bumiputera, terutamanya dalam persiapan menghadapi pilihan raya umum yang akan datang.

Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, berdasarkan data yang diperolehi daripada Pilihan Raya Umum dan Pilihan Raya Negeri yang lepas, beliau akui sokongan khususnya dari masyarakat Cina dan India masih kecil.

Bagi membuktikan parti itu adalah sebuah parti gabungan yang inklusif, bekas Perdana Menteri itu berkata, Konvensyen PN yang berlangsung pada Sabtu mengenal pasti keperluan untuk semua parti komponen mencorak langkah yang strategik bagi menarik sokongan mereka.

“Masa PRU dan PRN lepas, kita ada data yang menunjukkan semua kawasan pilihan raya, bahawa kekuatan kedudukan kita, sokongan diperoleh daripada masyarakat Melayu dan Bumiputera adalah terbesar.

“Tetapi sokongan bukan Melayu, khususnya kaum Cina dan India masih kecil. Kita faham dan kita tahu kenapa. Jadi sebab itu dalam konvensyen kita iktiraf keperluan untuk kita bertindak secara lebih berkesan baik di sudut parti.

“Kita bersikap inklusif, kalau dapat kita buktikan dengan tindakan kita, bukan setakat pandangan saja, Masyarakat bukan Melayu akan lebih memahami bahawa kita bukan parti Melayu semata-mata, kita ini parti Melayu yang berteraskan Malaysia,” katanya lagi.

Beliau berkata, perkara itu turut digariskan antara 20 resolusi Konvesyen PN yang berbunyi – “Memperkasa masyarakat majmuk dengan berlaku adil dan prihatin kepada semua rakyat tanpa mengira kaum, agama, dan golongan, termasuk Melayu, Cina, India, Sikh, Kadazan, Dusun, Iban, Murut, Orang Asal, warga emas, wanita, belia, kanak-kanak, dan warga OKU”.

Muhyiddin berkata demikian pada sidang media selepas selesai menggulung Konvensyen PN yang pertama di ibu negara, pada Sabtu.

Antara perkara lain yang digariskan termasuklah menegakkan Perlembagaan Persekutuan, menjunjung prinsip Raja Berperlembagaan, Demokrasi Berparlimen, Kedaulatan Undang-undang, serta kebebasan kehakiman.

Selain itu, menjunjung prinsip Federalisme, memartabatkan Islam sebagai Agama Persekutuan, serta merancakkan pertumbuhan ekonomi negara, selain memberi tumpuan terhadap isu yang membelenggu kehidupan seharian masyarakat.

Dalamn pada itu Muhyiddin berkata, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman akan turut menyertai Jelajah Nasional PN yang akan dimulakan dalam masa terdekat.

“Syed Saddiq sokong kita walaupun dia tak sertai PN, tapi pro kita. Tetapi saya sebutkan itu kerana nak tunjukkan PN itu di peringkat tertinggi dah buat keputusan, akan adakan jelajah di semua negeri, untuk menjelaskan isu semasa, dan mendengar apakah rintihan masalah rakyat di bawah.

“Apa peranan PN boleh lakukan untuk sedikit sebanyak ringankan bebanan masyarakat. Jadi kita ambil inisiatif besar, tiap-tiap negeri kita akan adakan perhimpunan oleh pemimpin parti, bagi menerangkan dasar perjuangan kita,” katanya lagi.