MERSING: Polis menerima dua laporan mengenai kejadian merosakkan bendera parti dan sabotaj ketika musim berkempen bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bagi kawasan DUN Tenggaroh.

Menurut Ketua Polis Daerah Mersing, Superintenden Cyrill Edward Nuing, kejadian berlaku di Felda Nitar sewaktu tempoh berkempen yang telah bermula pada 26 Februari lalu.

"Polis Mersing telah menerima dua laporan polis dari parti politik berkenaan mengenai vandalisme bendera parti yang bertanding pada PRN kali ini di kawasan Nitar.

"Polis telah membuka kertas siasatan berkaitan laporan polis yang diterima dan siasatan dibuat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan,” katanya ketika ditemui di perkarangan IPD Mersing pada Selasa.

Beliau memaklumkan perkara itu selepas hadir melakukan pemantauan di IPD Mersing yang bermula jam 8 pagi Selasa.

Setakat ini katanya, polis masih menjalankan siasatan dan belum memanggil mana-mana pihak yang terlibat dengan kejadian tersebut.

Ditanya mengenai parti yang terlibat dengan kejadian tersebut, Cyrill bagaimanapun enggan untuk mengulas lanjut.