KOTA KINABALU: Situasi politik di Sabah terus menjadi tanda tanya apabila Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dilihat masih berteka-teki mengenai khabar angin kerjasama di antara BN dan Parti Warisan (Warisan) untuk membentuk kerajaan baharu di negeri itu.

Beliau ketika ditemui sewaktu keluar daripada Pejabat UMNO Sabah berkata, perjumpaan yang diadakan di pejabat itu sekadar perbincangan biasa di kalangan pimpinan UMNO mengenai masa depan parti itu di Sabah.

"Tiada apa-apa. Perjumpaan biasa sahaja. Kami berbincang mengenai masa depan parti," ujar Bung Moktar secara ringkas.

Pertemuan pimpinan UMNO Sabah itu menguatkan lagi spekulasi mengenai kerjasama parti itu bersama Warisan apabila Warisan turut mengadakan sidang media pada hari yang sama namun membatalkannya pada saat akhir.

Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal ketika dihubungi Astro AWANI mengesahkan membatalkan sidang media tersebut namun enggan memberikan sebarang alasan mengenainya.

BACA: 7 ADUN Pakatan Harapan Sabah tidak beri SD sokong mana-mana pihak

Sebelum itu, turut dikhabarkan bahawa berlaku pertemuan di antara Mohd Shafie serta beberapa pimpinan UMNO Sabah dan Pakatan Harapan (PH) bersama Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dipercayai bagi membincangkan perkara tersebut.

Perkara itu menguatkan lagi dakwaan mengenai kerjasama di antara BN, Warisan, dan PH lebih-lebih lagi selepas kenyataan yang dikeluarkan Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Masidi Manjun semalam yang menyatakan kesediaan GRS untuk membuktikan sokongan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah terhadap Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor sekiranya ada keperluan.