SHAH ALAM: Ketua Dewan Ulamak Pas Pusat (DUPP), Datuk Ahmad Yahaya berkata, tidak wajar ada pihak menyamakan Pas dengan parti mereka yang didakwa menggunakan harta dan kedudukan sebagai habuan utama dalam berpolitik.

Katanya, ironi sekali apabila ada pihak yang membuat dakwaan palsu bahawa Pas dan Perikatan Nasional (PN) sedang berusaha membeli wakil rakyat ketika ini dengan kemewahan harta dan pangkat.

“DUPP ingin mengingatkan kerajaan bahawa sepatutnya mereka melihat dan menilai kepada parti mereka sendiri dalam menanggapi perkembangan politik yang berlaku akhir-akhir ini.

“Satu demi satu kegagalan yang ditampilkan dalam pentadbiran hari ini menyebabkan rakyat semakin menjauhi mereka.

"Jangan menjadi mata lalat yang hanya tahu menyalahkan orang lain sedangkan rumah sendiri hanya menanti masa untuk rebah gugur menyembah bumi,” katanya dalam siaran di Facebook pada Selasa.

Dalam pada itu, Ahmad menegaskan bahawa politik wang tidak pernah menjadi sebahagian daripada amalan politik Pas sejak keberadaan parti ini dalam pentas siasah negara.

Tambahnya, Pas sentiasa bertegas dalam menyanggah dan membanteras segala bentuk rasuah politik demi mempertahan Islam dan negara.

“Bagaimana mungkin sebuah parti miskin boleh menggunakan duit sebagai sogokan untuk mendapatkan sokongan?

“Sebaliknya merekalah yang telah menjadikan amalan tersebut untuk mendapatkan sokongan wakil rakyat.

“Segelintir daripada wakil rakyat daripada pembangkang menerima tawaran mencecah jutaan ringgit sebagai balasan sokongan kepada mereka,” jelasnya. - Sinar Harian