KUALA LUMPUR: Kesemua Menteri dan Timbalan Menteri Kabinet daripada UMNO menyambut baik keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu yang memutuskan untuk Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjadi calon Perdana Menteri pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh 10 Menteri dan 10 Timbalan Menteri UMNO pada Jumaat berkata, keputusan itu secara jelas mencerminkan keterbukaan kepimpinan UMNO yang diterajui Presidennya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan beliau, Datuk Seri Mohamad Hasan.

Kata mereka, keputusan itu juga merupakan manifestasi jiwa besar Presiden seperti yang terungkap dalam Ucapan Penggulungannya semasa Perhimpunan Agung UMNO 2021 yang berlangsung bulan lalu.

"Sebagaimana maklum, Malaysia ketika ini telah melangkah ke Fasa Peralihan ke Endemik yang mana penumpuan ke arah pemulihan negara sedang giat diusahakan oleh kerajaan Keluarga Malaysia pimpinan Perdana Menteri.

"Susulan daripada keadaan pandemik COVID-19 yang lebih baik dan terkawal ketika ini, pengumuman pembukaan lebih banyak aktiviti sosial di dalam fasa ini termasuklah aktiviti sepanjang Ramadan serta kebenaran merentas negeri untuk sambutan Aidilfitri tidak lama lagi sememangnya dinantikan oleh seluruh Keluarga Malaysia.

"Selain itu, keprihatinan Perdana Menteri dalam usaha pemulihan ekonomi rakyat termasuklah pelaksanaan perintah gaji minimum baharu tidak lama lagi serta agenda membela nasib rakyat antaranya memastikan kepentingan dan hak wanita seperti yang diumumkan dalam Perhimpunan Agung UMNO yang lalu juga telah disambut baik dan positif oleh setiap lapisan masyarakat," kata kenyataan tersebut, pada Jumaat.

Pada Khamis, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO sebulat suara memutuskan untuk Ismail menjadi calon Perdana Menteri pada PRU15.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, berkata kesepakatan itu ialah antara beberapa perkara diputuskan pada Mesyuarat MKT yang dipengerusikan Presiden UMNO.

Mengulas lanjut, kenyataan itu menambah, pencalonan Ismail sebagai calon tunggal Perdana Menteri daripada parti UMNO bakal menjamin kesinambungan dan kelangsungan kepada setiap perancangan serta agenda pemulihan negara pasca pandemik COVID-19.

"Ia sekali gus dapat memberikan keyakinan kepada rakyat yang ingin melihat sebuah kerajaan yang stabil dan kukuh ditubuhkan selepas PRU-15 kelak.

"Menteri dan Timbalan Menteri daripada parti UMNO mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada seluruh kepimpinan UMNO atas keputusan yang telah dibuat ini dan beriltizam untuk berusaha sehabis baik dalam memastikan segala perancangan pemulihan negara yang sedang berlangsung ketika ini berjalan dengan baik dan lancar sehinggalah parlimen dibubarkan dan mandat rakyat dikembalikan dalam PRU-15 yang akan datang," ujar mereka.