KUCHING: Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) Tan Sri Abang Johari Tun Openg masih enggan memberi bayangan siapa yang bakal diletakkan sebagai calon dalam pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak.

Bagaimanapun, beliau mendedahkan individu yang dicalonkan parti PBB itu adalah  seorang  lelaki.

”Insya Allah mungkin dengarlah esok lusa, (calon) lelaki,” katanya ringkas.

Pengerusi GPS itu secara ringkas memberi respons berkenaan ketika ditemui media selepas menghadiri Konvokesyen Universiti Swinburne Kampus Sarawak di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) pada Selasa.

Sebelum ini Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 21 Oktober sebagai tarikh Hari Penamaan Calon bagi PRK Jepak selepas kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Talib Zulpilip.


Teka-teka siapa calon GPS terus berlegar di lapangan dengan beberapa nama calon berpotensi dikaitkan bakal mengisi kekosongan tersebut.

Di peringkat PBB Cawangan Jepak itu sendiri difahamkan telah mencadangkan tiga nama yang merupakan anak jati Kampung Jepak untuk dipertimbangkan bagi menggalas tugas yang ditinggalkan itu.

Kerusi DUN Jepak sebelum ini disandang Allahyarham Talib selama enam penggal termasuk Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) dengan majoriti 4,243 undi dalam pertembungan empat penjuru melibatkan calon Parti Sarawak Bersatu (PSB) Raba’ah Tudin, Stevenson Joseph daripada Parti Bumi Kenyalang (PBK) dan calon bebas Tuah Kazan.

PRK Jepak bakal menyaksikan pertambahan pengundi daripada 14,643 semasa PRN12 kepada 22,804 pemilih terdiri daripada 22,761 pengundi biasa dan 43 anggota polis.