DAP menyifatkan kekalahan pihak pembangkang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar berpunca dari kedegilan PAS untuk bekerjasama.

Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming berkata, parti itu harusnya mengambil iktibar daripada kekalahan yang diterima kali ini.

"Mereka seharusnya mengambil iktibar dan berhenti menolong UMNO untuk memecahkan undi pihak pembangkang," katanya kepada Astro AWANI ketika dihubungi sejurus selepas keputusan pengundian diumumkan di Dewan Jubli Perak, di sini pada malam Sabtu.

Sebelum ini, beliau pernah memberi peringatan kepada PAS untuk tidak bertanding supaya ia tidak merugikan usaha Pakatan Harapan untuk mengalahkan Barisan Nasional.

Katanya, meskipun keputusan jumlah undi Parti Amanah Negara (Amanah) hanya sebanyak 4,883 namun ianya berjaya menghantar satu isyarat jelas kepada PAS.

"Ianya merupakan satu kemenangan moral, kami dikalahkan tetapi kami tidak tewas. Ini merupakan satu petanda yang cukup memberangsangkan buat Amanah yang baru berusia 8 bulan," katanya.

Barisan Nasional (BN) berjaya mengekalkan kerusi P.067 Kuala Kangsar pada PRK Parlimen itu hari ini.

Calonnya, Datin Mastura Yazid yang merupakan isteri kepada Allahyarham Datuk Wan Khair-il Anuar Wan Ahmad, telah menewaskan tiga calon lain dengan majoriti 6,969, meraih jumlah undi sebanyak 12,653 undi.

Beliau menewaskan Ketua Dewan Muslimat PAS Perak Dr Najihatussalehah Ahmad, Naib Ketua Amanah Kuala Kangsar Prof Dr Ahmad Termizi Ramli dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary.

PAS mendapat 5,684 undi, Amanah mendapat 4,883 undi manakala calon Bebas mendapat 54 undi.