Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berpendapat calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Kangsar, Datin Mastura Mohd Yazid yang sedang dalam edah boleh menggunakan alternatif lain untuk berkempen.

Beliau berkata pada zaman kini banyak teknologi maklumat yang boleh diguna pakai untuk menyampaikan matlamat, buah fikiran dan kempen.

"Begitu juga banyaknya wakil dan petugas yang boleh mengambil alih tugasan seseorang wanita dalam keadaan edah yang perlu dihormati," katanya dalam kenyataan bertajuk 'Hukum Wanita Beriddah Menyertai Kempen Pilihan Raya' yang dimuat naik di laman portal rasmi Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.

BACA: Biar dalam tempoh edah, Mastura yakin mampu galas tanggungjawab

BACA: Pembangkang sudah dijangka heret isu edah - Mas Ermieyati

BACA: Jangan guna isu edah untuk berkempen - Calon PAS

Katanya, bersandarkan kepada pendapat majoriti ulama dalam kalangan imam empat mazhab, perempuan dalam keadaan edah hanya boleh keluar dari rumahnya jika wujudnya keperluan atau harus beserta kriteria.

Oleh itu, Mastura perlu mengikut kriteria yang ditetapkan iaitu tidak keluar rumah dengan sewenang-wenangnya tanpa hajat, dan hendaklah juga menjaga auratnya di luar rumah.

Zulkifli berkata adalah lebih baik sekiranya (Mastura) dapat mewakilkan kepada kaum keluarga seperti anak-anak ataupun rakan-rakan lain.

"(Beliau perlu) menjaga tatasusila dan adab ketika berkabung serta menjauhkan diri daripada perkara yang membawa kepada fitnah," katanya.

Katanya, berdasarkan pendapat para ulama dibolehkan memberi kelonggaran (rukhsah) buat orang yang dalam edah untuk keluar dari rumah meskipun terdapat tegahan dan larangan dari nas (ayat al-Quran) dan kelonggaran yang diberikan itu adalah yang berkait dengan hajat dan maslahah (memelihara tujuan syarak dan menghindarkan kemudharatan) perempuan dalam edah.

Katanya, antara yang boleh dikategorikan sebagai hajat dan juga maslahah adalah seperti keluar untuk bekerja dan membeli barangan rumah yang penting seperti makanan dan minuman (sekiranya tiada orang lain yang boleh membantunya seperti anak-anak melainkan dirinya).

Selain itu, keluar untuk menghadiri kuliah atau kelas bagi mereka yang belajar (yang mana jika dia tidak menghadiri kelas sepanjang tempoh edah tersebut akan memberi kesan kepada pelajarannya), katanya.

Mastura perlu menjalani tempoh edah selama empat bulan 10 hari susulan kematian suaminya Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad, 5 Mei lepas.