DAP melahirkan rasa lega apabila PAS mengumumkan jentera mereka sedia membantu sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh selepas isu hudud menimbulkan kemelut kepada kedua-dua parti itu.

Ketua Wanita DAP, Chong Eng berkata beliau berasa senang dengan pelancaran jentera PAS Permatang Pauh yang diumumkan pada malam Sabtu.

Beliau berkata pelaksanaan hudud adalah satu situasi untuk jangka masa hadapan yang perlu dibincangkan lagi.

"Berdasarkan apa yang Azizah (Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail) jelaskan kepada saya, mereka (PKR) bukan menentang hudud. Cuma mereka berasakan cara pelaksanan hudud masih perlu dibincangkan.

"Jadi bagi saya, ini adalah situasi untuk masa hadapan. Bukannya seperti kemelut pelaksanaan GST (Cukai Barangan dan Perkhidmatan) yang sedang berlaku sekarang.

"Situasi ini sangat futuristik. Ia (pelaksanaan hudud) belum berlaku lagi dan tiada apa-apa yang akan berlaku dalam masa terdekat ini.

"Ia seperti bertanya kepada mereka yang ingin berkahwin, apa akan terjadi jika benda buruk berlaku seperti bercerai jika anda berkahwin?" jelas Exco Pulau Pinang ini kepada media selepas menghadiri majlis jentera PAS Permatang Pauh malam tadi di Dewan Haji Yusuf Ar-Rawa, Kampung Samagagah, Permatang Pauh, Pulau Pinang.

Majlis ini turut dihadiri Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu, Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat Dr Hatta Ramli, Ketua PAS Bahagian Permatang Pauh Omar Hassan, Timbalan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang Datuk Dr Mujahid Rawa, Ahli Jawatankuasa PAS Permatang Pauh Jamsari Samad dan calon PR untuk PRK, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail.

Wan Azizah dalam satu ucapannya dalam majlis itu berkata beliau merayu agar Pakatan Rakyat berwaspada dengan mana-mana pihak yang cuba memecahbelahkan mereka.

"Saya merayu kepada semua terutama dari dahulu bersusah payah bersama-sama agar berjaga-jaga dengan pihak yang cuba memecah belahkan kita," jelas Azizah.

PAS bahagian Permatang Pauh sebelum ini bertegas tidak akan memberi sokongan kepada calon PKR jika mereka tidak menarik balik kenyataan tidak menyokong hudud namun mereka bersetuju untuk tidak bersetuju dengan kenyataan PKR apabila melancarkan jentera pilihan raya mereka malam tadi.

Ketuanya Omar Hassan menyifatkan kemelut yang melanda PAS kawasan itu dan PKR sebagai sudah selesai dan tidak lagi timbul isu permohonan maaf yang dituntut sebelum ini.

Isu sokongan PAS terhadap calon PKR timbul apabila PAS kawasan Permatang Pauh menuntut PKR menarik balik kenyataan tidak menyokong rang undang-undang persendirian berkaitan hudud jika mahu sokongannya pada PRK ini.

PRK ini diadakan berikutan keputusan Lembaga Pengampunan menolak petisyen pengampunan diraja yang dipohon anggota Parlimen kawasan itu Datuk Seri Anwar Ibrahim melalui anggota keluarganya, sekali gus menyebabkan Anwar hilang kelayakan sebagai wakil rakyat.

PRK Parlimen Permatang Pauh bakal menyaksikan pertandingan empat penjuru di mana calonnya adalah Suhaimi Sabudin, 44, daripada BN; Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, 62 (PKR); calon bebas Salleh Isahak, 53; dan Azman Shah, 50 (Parti Rakyat Malaysia).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK Permatang Pauh pada 7 Mei, manakala pengundian awal 3 Mei.