BENTONG: Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelangai pada 7 Oktober depan menyaksikan saingan tiga penjuru melibatkan Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan seorang calon Bebas.

BN mempertaruhkan Ahli Jawatankuasa UMNO Bentong, Datuk Amizar Abu Adam, 50 tahun, yang merupakan anak jati Felda Chemomoi, bagi mempertahankan kerusi tersebut.

PN meletakkan Naib Yang Dipertua Pas Kawasan Bentong, Kasim Samat, 63 tahun, atau lebih dikenali sebagai Cikgu Kasim, bagi memberikan saingan pada PRK berkenaan.

Seperti yang disebut-sebut, calon Bebas yang disahkan ialah Haslihelmy DM Zulhasli, bekas ahli UMNO, yang bertanding menggunakan simbol kereta.

Senarai rasmi calon-calon bagi PRK DUN Pelangai diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Pelangai Datuk Mohammad Shahid Ismail di Pusat Penamaan Calon Dewan Orang Ramai Felda Kemasul, di sini sekitar pukul 10.15 pagi.

Sebelum itu, ketiga-tiga calon berkenaan selesai mengemukakan borang pencalonan sekitar jam 9.08 pagi.

Kasim tiba sekitar 8.15 pagi diiringi ratusan penyokong termasuk Timbalan Presiden Pas Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, Naib Presiden Pas Datuk Idris Ahmad, Ketua Pengarah Pilihan Raya PN Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dan Pengerusi PN Pahang Datuk Seri Saifuddin Abdullah.

Sementara itu, Amizar tiba dengan diiringi kepimpinan BN dan Pakatan Harapan (PH) termasuk Presiden UMNO, yang juga Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong dan Presiden AMANAH Datuk Seri Mohamad Sabu.

Terdahulu, Ahmad Zahid mengesahkan keahlian Haslihelmy, yang juga Pemuda UMNO Bahagian Bentong, gugur serta-merta selepas bertanding atas tiket Bebas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Pelangai pada 7 Oktober, sementara undi awal ditetapkan pada 3 Oktober.

PRK ini diadakan susulan kekosongan luar jangka selepas kematian penyandangnya, Datuk Seri Johari Harun, yang terkorban dalam nahas pesawat terhempas di Elmina, Shah Alam pada bulan lepas.

Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Allahyarham memenangi kerusi berkenaan dengan majoriti 4,048 undi menewaskan Kasim (PN) yang mendapat 3,260 undi; Ahmed Wafiuddin Shamsuri daripada PH (2,031 undi) dan Isa Ahmad daripada Pejuang (65 undi).

Seramai 16,456 pengundi layak menunaikan tanggungjawab masing-masing dalam PRK kali ini termasuk 36 anggota polis dan tiga Pengundi Tidak Hadir Luar Negara.

Komposisi DUN Pahang selepas PRU15 ialah BN dan PN masing-masing mempunyai 17 kerusi manakala PH menang lapan kerusi.