JOHOR BAHRU: Peratusan jumlah keluar mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pulai dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simpang Jeram setakat jam 11 pagi pada Sabtu, masih rendah.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, bagi Parlimen Pulai, peratusan jumlah mengundi direkodkan sebanyak 19 peratus manakala di DUN Simpang Jeram pula sebanyak 26 peratus.

Beliau memberitahu keadaan keadaan cuaca hujan di Parlimen Pulai pada sebelah pagi, menyebabkan peratusan keluar mengundi agak rendah.

"Setakat jam 11 pagi, peratusan bagi Parlimen Pulai masih rendah iaitu 19 peratus dan Simpang jeram 26 peratus.

“Di kawasan sini (Parlimen Pulai) hujan, di Simpang Jeram cuaca agak elok. Alhamdulillah proses pengundian berjalan lancar. SPR masih mengekalkan sasaran 70 peratusan mengundi hari ini,” katanya.

Sebelum itu, cuaca mendung dan hujan dilaporkan mengiringi proses pengundian di 61 pusat mengundi PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram hari ini.

Di Pulai, cuaca cerah pada sebelah pagi dilihat beransur mendung di 47 pusat pengundian, begitu juga dengan keadaan di Simpang Jeram yang mempunyai 14 pusat pengundian.

Menurut laman web rasmi Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), cuaca diramalkan hujan di sebelah pagi dan ribut petir di sebelah petang bagi kedua-dua kawasan.

*Artikel disiarkan di Sinar Harian