Dua laporan berkaitan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson telah diterima polis di sini, setakat ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Port Dickson, DSP Mohd Faisal Mohd Noor berkata, ia melibatkan ugutan melalui telefon terhadap bilik gerakan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan kehilangan beg kamera serta peralatan bernilai RM8,000 milik agensi berita tempatan.

Laporan ugutan yang diterima bilik gerakan PKR itu diterima semalam di mana suspek mengugut untuk meminta wang perlindungan.

Suspek, seorang lelaki tempatan, bagaimanapun sudah dikenal pasti dan akan dipanggil untuk memberi keterangan mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan.

Mengenai pengeluaran permit pula, empat permit dikeluarkan sejak hari penamaan calon, kata Mohd Faisal.

Tiga permit dikeluarkan untuk Pakatan Harapan dan satu untuk Parti Islam Se-Malaysia (Pas).

Bagi calon Bebas pula, mereka tidak membuat permohonan memandangkan mereka lebih fokus kepada pertemuan bersemuka.

"Semalam, Datuk Seri Anwar Ibrahim ada bertembung dengan calon Bebas di sebuah pasar, namun semua berjalan lancer dan aman harmoni.

"Kita amat gembira kerjasama calon bertanding mahupun penyokong parti semua mengikut arahan tatacara kempen," kata Mohd Faisal hari ini.

Tambahnya, setakat ini kempen PRK tersebut berjalan lancar tanpa sebarang kekecohan.