Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan tindakan PAS memainkan sentimen hudud pada pilihan raya kecil (PRK) Rompin sebagai ketandusan isu.

Katanya, parti itu menggunakan isu hudud kerana mereka tidak menjawab isu-isu lain yang lebih penting.

“Jadi saya fikir bukan isu itu sahaja yang pokok, ada lain-lain perkara. Dia tak boleh jawab isu-isu itu, jadi dia gunakan isu hudud untuk tujuan meraih pengundi,” kata Muhyiddin pada sidang media selepas merasmikan majlis pecah tanah Dewan Semai Bakti di Felda Keratong 4, Muadzam Shah pada Isnin.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu bagaimanapun berkata, ianya terserah kepada pengundi untuk berfikir mana (isu) yang lebih penting.

“Itu terserah kepada pengundi sama ada pengundi hendak menerima dia punya cara iaitu menggunakan isu hudud.

“Dia tahu dia tak boleh menang kerana ramai masyarakat Cina tak bersetuju… dia tahu mungkin ini lah isu yang boleh menarik perhatian orang Melayu, tetapi saya percaya pengundi akan tahu sendiri,” katanya.

Semalam, The Malaysian Insider melaporkan bahawa Naib Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata kemenangan PAS di Rompin akan membantu usaha mereka bagi melaksanakan hukum hudud.

Dalam satu kempen ceramah di Muadzam Shah malam tadi, Tuan Ibrahim berkata jika calon PAS untuk Rompin, Nazri Ahmad terpilih menjadi wakil rakyat ia akan membolehkan beliau (Nazri) mengundi usul itu di Parlimen.

Sementara itu, Muhyiddin berkata BN mendapat sambutan baik di kalangan penduduk Rompin termasuk Orang Asli kerana banyak isu permasalahan mereka telah dapat dibangkitkan di peringkat negeri.

“Isu tanah, isu bantuan-bantuan yang disediakan… begitu juga di Felda tadi soal hak milik tanah, ini juga dapat diuruskan baik oleh kerajaan negeri,” katanya.

Tambah Muhyiddin yang juga Pengarah BN bagi PRK Parlimen Rompin dan Permatang Pauh, beliau yakin penduduk di situ bersedia untuk memberi sokongan kepada BN.