Keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih merupakan satu mesej untuk kerajaan Pakatan Harapan (PH) mendengar isu-isu yang mesti dipertimbangkan dengan lebih mendalam, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Justeru, beliau yang juga Presiden PH berkata, perlu diambil iktibar mengenai apa yang ingin dilakukan, sama ada dalam pilihan raya kecil atau besar.

"Kita ada sistem demokrasi, kita ada pilihan dan kami mahukan rakyat tahu kami cuba sedaya upaya untuk rakyat," katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina 2019 Parlimen Port Dickson di PD Waterfront di sini, malam tadi.

Beliau berkata demikian mengulas keputusan PRK Semenyih yang menyaksikan kemenangan Barisan Nasional (BN) apabila berjaya menawan semula kerusi DUN Semenyih pada Sabtu.

Calon BN, Zakaria Hanafi memenangi persaingan empat penjuru pada PRK kawasan itu dengan memperoleh 19,780 iaitu majoriti 1,914 undi.

Zakaria menewaskan calon PH Muhammad Aiman Zainali, yang memperoleh 17,866 undi, Nik Aziz Afiq Abdul, 25, daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM) (847 undi) dan calon bebas yang juga seorang aktivis masyarakat, Kuan Chee Heng, 56, (725 undi).

BACA: Kemenangan BN tanda referendum rakyat terhadap PH - Mohamad Hasan

Sementara itu, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata keputusan PRK Semenyih memberi gambaran tentang perasaan rakyat terutamanya sentimen disuarakan masyarakat Melayu.

"Kami harus ambil kira tetapi kami harus teruskan tugas dengan baik dan saya yakin jika diberikan sedikit masa, rakyat akan dapat faham mengapa kami ambil langkah-langkah yang sedang diambil dan keterbatasan kami dalam beberapa langkah pelaksanaan program," katanya.

BACA: Hormati keputusan Semenyih, kedudukan PH di Selangor masih kukuh - Anwar

Anwar juga berkata corak pengundi juga penting untuk parti itu telitikan.