KOTA TINGGI: Dua lelaki dan seorang wanita maut dalam kemalangan melibatkan dua kenderaan berhampiran sebuah stesen minyak di Tanjung Leman, Jalan Jemaluang di sini, petang tadi.
Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan (PBK) II Azlan Hamzah berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu, pada 5.05 petang.
Susulan itu, sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dengan kekuatan lapan anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Mersing, digegaskan ke lokasi yang terletak kira-kira 45 kilometer dari balai tersebut.
“Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) didapati benar berlaku kemalangan, melibatkan kereta jenis Honda City dan Toyota Vios. Ketiga-tiga mangsa, iaitu lelaki berusia 21 tahun dan wanita berusia 20 tahun yang menaiki Honda City serta lelaki berusia 31 tahun yang menaiki Toyota Vios, disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan.
“PKO bertindak mengeluarkan semua mangsa menggunakan rescue cutter dan stretcher, sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Azlan berkata operasi tamat sepenuhnya pada 6.59 petang.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Superintenden Yusof Othman dalam kenyataan berasingan memaklumkan kes masih lagi dalam siasatan dan kenyataan media akan menyusul kemudian.
-- BERNAMA