KUALA LUMPUR: Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Adam Adli Abd Halim menolak jemputan debat oleh Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman buat masa ini.

Katanya, debat itu dilihat janggal kerana membabitkan dua Ahli Parlimen kerajaan dengan seorang Ahli Parlimen pembangkang.

"Terima kasih atas ajakan saudara. Biarpun janggal untuk debat diadakan antara dua MP Kerajaan dengan disertai pula oleh seorang MP Pembangkang, saya kira ia menarik dan boleh kita jadikan medan untuk merungkai banyak perkara agar jelas semuanya," katanya di Twitter hari ini.

Adam Adli berkata, beliau percaya ada pihak yang lebih memerlukan pentas debat ketika ini.

"Sempena Pilihan Raya Negeri (PRN), peluang perlu diberikan kepada calon-calon muka baharu untuk berdebat.

"Ia bagi memberi tumpuan kepada suara mereka dan pendedahan yang lebih dari segi perhatian media dan masyarakat," katanya.

Bagaimanapun, Adam Adli tidak menolak sekiranya debat itu diadakan selepas PRN nanti

Pada Khamis, Syed Saddiq menjemput Adam Adli dan Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Ahmad Fadhli Shaari untuk berdebat secara terbuka mengenai cabaran yang dihadapi oleh belia pada masa kini.

Menurut kenyataan MUDA pada Khamis, debat terbuka itu diadakan bagi memberi peluang untuk menyampaikan polisi dan inisiatif parti masing-masing.

Sementara itu, Sinar Harian melaporkan, Ahmad Fadhli menerima pelawaan Syed Saddiq itu.

Ahmad Fadhli berkata, beliau sedang berhubung dengan Syed Saddiq bagi menentukan masa dan tarikh yang bersesuaian untuk merealisasikan debat itu.

“Saya tiada masalah untuk menyambut baik cadangan ini. Buat masa sekarang, saya sedang berhubung dengan pihak Syed Saddiq untuk menentukan masa dan tarikh yang boleh dipersetujui bersama.

“Perdebatan adalah budaya yang sihat dalam masyarakat kita. Bagi saya, tiada masalah dan bila-bila masa sahaja perbincangan (debat) ini boleh dilakukan. Bukan hanya dalam tempoh PRN sahaja,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.