GEORGE TOWN: Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong meminta semua ahli parti supaya bersedia untuk memberikan sokongan kepada calon-calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya enam negeri bulan depan.

Beliau berkata walaupun MCA membuat keputusan untuk tidak menyertai Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini, ahli parti itu harus bersedia memberi kerjasama kepada calon-calon dari BN.

"Kita dalam satu gabungan dalam penubuhan Kerajaan Perpaduan harus melaksanakan tanggungjawab untuk memastikan kemenangan calon-calon BN pada PRN nanti," katanya kepada pemberita selepas merasmikan konvensyen tahunan MCA Pulau Pinang di sini hari ini

Beliau mengulangi pendirian parti itu untuk tidak bertanding pada PRN kali ini bagi memberi tumpuan kepada persiapannya menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16.

Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kelantan, Kedah dan Terengganu akan berdepan PRN pada 12 Ogos ini setelah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) minggu lepas mengumumkan PRN di keenam-enam negeri itu diadakan serentak manakala tarikh penamaan calon pada 29 Julai dan pengundian awal pada 8 Ogos.

Sementara itu, Dr Wee yang juga Ahli Parlimen Ayer Hitam menasihatkan semua pengundi di negeri-negeri yang terlibat dalam PRN tersebut agar mengundi dengan bijak supaya wakil rakyat mereka nanti boleh membawa suara akar umbi dan dapat melakukan perubahan yang diperlukan.

-- BERNAMA