KUALA LUMPUR: Kesemua calon Bebas gagal memenangi sebarang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri, menurut data Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Seramai 41 calon Bebas bertanding dengan masing-masing 10 calon di Selangor, Kedah dan Negeri Sembilan, masing-masing lima calon di Kelantan dan Pulau Pinang serta seorang di Terengganu.

Daripada jumlah itu, 39 calon Bebas hilang wang deposit.

Calon bertanding hilang wang deposit sekiranya gagal memperoleh satu per lapan atau 12.5 peratus daripada jumlah keseluruhan undi yang dikira di kawasan terlibat.

Yessu Samuel yang bertanding di kerusi DUN Nilai memperoleh undi paling rendah iaitu 57 undi.

PRN kali ini menyaksikan gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) menang di Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang manakala Perikatan Nasional (PN) menang di Kedah, Kelantan dan Terengganu. - BERNAMA