BALIK PULAU: DAP akan bertanding di semua kerusi penyandang di empat daripada enam negeri dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos nanti.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, secara keseluruhannya, parti itu mempunyai 48 kerusi yang mana, di Pulau Pinang, DAP akan bertanding di 19 kerusi penyandang, Selangor (16), Negeri Sembilan (11) dan Kedah (2).

"Jumlah kerusi memang tidak berubah (besar). Kita hanya bertanding di kerusi yang kita telah menang. DAP akan bertanding di semua kerusi penyandang dalam PRN nanti.

"Mengenai jumlah kerusi keseluruhannya, saya belum kira lagi, tetapi di Pulau Pinang ada 19 kerusi," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Lesen Memandu di bawah program MyLesen B2 di Pusat Latihan Memandu Balik Pulau di sini pada Sabtu.

Selain Pulau Pinang, lima negeri yang akan mengadakan PRN adalah Selangor, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Pulau Pinang mempunyai 40 kerusi DUN dan pada Pilihan Raya Umum 2018, PH telah memenangi 37 kerusi, ketika Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) masih menjadi sebahagian daripada PH.

Selepas Bersatu keluar daripada gabungan PH dan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR dipecat daripada parti dan kemudiannya menyertai PPBM, empat kerusi itu, Seberang Jaya, Sungai Acheh, Teluk Bahang dan Bertam jatuh di bawah Perikatan Nasional (PN).

Ditanya mengenai senarai calon, beliau yang juga Menteri Pengangkutan berkata, sehingga kini, DAP Pusat belum menerima sebarang senarai calon daripada pimpinan negeri.

"Soal calon akan diumumkan kelak. Senarai calon belum ada, (kita) belum terima daripada peringkat negeri lagi. Bila akan umum? Bila-bila masa sebelum hari penamaan calon.

"Saya akan datang balik ke sini, dalam tiga minggu ini, saya akan kerap datang ke Pulau Pinang sebagai kapasiti yang lain. Hari ini (Sabtu) hanya untuk tugas rasmi.

"Saya telus dengan media, kali ini tidak ada 'meeting' dengan pimpinan parti, saya akan balik ke Kuala Lumpur pada jam 4.45 petang nanti," katanya.

Sebelum ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRN di enam negeri diadakan serentak pada 12 Ogos ini sebagai hari pengundian manakala 29 Julai sebagai hari penamaan calon.

Sementara itu, hari pengundian awal ialah pada 8 Ogos ini.

Tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari bermula selepas pengumuman calon bertanding sehingga jam 11.59 malam, 11 Ogos ini.

Selain itu, Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang digunakan adalah yang terkini sehingga Daftar Pemilih Tambahan April 2023 yang dikemaskini 21 Jun lalu, membabitkan 9,773,571 pemilih. -- Sinar Harian