KUALA LUMPUR: DAP mahu bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Banting, Law Weng San dipilih sebagai Speaker DUN sekiranya Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) membentuk kerajaan di Selangor.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke menjelaskan, perkara itu dinyatakan sebagai syarat apabila DAP diminta menyerahkan kerusi DUN Dusun Tua kepada BN.

Loke menjelaskan, sebelum ini speaker DUN Selangor dipilih dalam kalangan ADUN namun kali ini pihaknya mahu pembaharuan.

"Sebelum ini ADUN Sekinchan merupakan Speaker DUN Selangor.

"Apabila kita menyerahkan atau diminta menyerahkan Dusun Tua, syarat yang telah kita nyatakan ialah supaya kita mencadangkan seorang bukan ADUN untuk menggantikan Speaker DUN Selangor dan cadangan kita ialah saudara Law Weng San," katanya pada sidang media memperkenalkan calon DAP Selangor pada Isnin.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor 12 Ogos ini, DAP akan mempertaruhkan 15 calon bagi mewakili Pakatan Harapan (PH).

Loke memaklumkan daripada 15 calon berkenaan, lapan adalah calon muka baharu manakala bakinya terdiri daripada muka lama.

Mereka yang dikekalkan adalah Ng Sze Han (Kinrara), bekas speaker DUN Selangor Ng Suee Lim (Sekinchan), Michelle Ng (Subang Jaya), Lim Yi Wei (Kampung Tunku), dan Jamaliah Jamaluddin (Bandar Utama).

Selain Weng Sang yang tidak mempertahankan DUN Banting, penyandang lain yang tidak bertanding semula termasuk Datuk Teng Chang Kim (Bandar Baru Klang), Ean Yong Hian Wah (Seri Kembangan), dan V Ganabatirau (Kota Kemuning).

Penyandang Balakong Wong Siew Ki akan dipindahkan ke Seri Kembangan.

Daripada 15 calon DAP berkenaan, lima atau 33.3 peratus adalah wanita.

Senarai penuh calon DAP bagi PRN Selangor

N4 Sekinchan - Ng Suee Lim

N6 Kuala Kubu Baharu - Lee Kee Hiong

N22 Teratai - Yew Jia Haur

N27 Balakong - On Chun Wei

N28 Seri Kembangan - Wong Siew Ki

N30 Kinrara - Ng Sze Han

N31 Subang Jaya - Michelle Ng Mei Sze

N34 Bukit Gasing - Rajiv Rishyakaran

N35 Kampung Tunku - Lim Yi Wei

N36 Bandar Utama - Jamaliah Jamaluddin

N45 Bandar Baru Klang - Quah Perng Fri

N47 Pandamaran - Leong Tuck Chee

N50 Kota Kemuning - Preakas Sampunathan

N52 Banting - Papparaidu Veraman

N56 Sungai Pelek - Lwi Kian Keong